Lenggong diiktiraf UNESCO Global Geopark

FOTO FB Saarani Mohamad

PARIS, 28 April – Lenggong, Perak kini secara rasmi diiktiraf sebagai Lenggong UNESCO Global Geopark, sekali gus mengangkat nama Malaysia ke persada antarabangsa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad menerima sijil pengiktirafan di ibu pejabat UNESCO bersama delegasi rasmi.
  • Pengiktirafan hasil usaha bersepadu Kerajaan Negeri, Jabatan Mineral dan Geosains serta Jawatankuasa Badan Pengurusan Lenggong Geopark.
  • Pengiktirafan dijangka merancakkan pelancongan dan memberi manfaat ekonomi lebih besar kepada komuniti setempat.
  • Inisiatif termasuk Geoschool, GEOENTREPRENEUR, Bangsawan Lembah Lenggong, Lenggong Dialog 2026 serta usaha menjadikan Lenggong pusat pendidikan antarabangsa.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menerima sijil pengiktirafan berkenaan di ibu pejabat UNESCO di Paris, Perancis.

Turut mengiringi beliau ialah Timbalan Menteri Dalam Negeri merangkap Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah bersama Badan Pengurusan Lenggong Geopark.

Sebelum ini, Lenggong terlebih dahulu diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO menerusi Lembah Lenggong pada tahun 2012, menjadikannya antara kawasan unik yang memiliki dua pengiktirafan UNESCO.

Datuk Seri Saarani berkata, kejayaan itu merupakan hasil usaha bersepadu Kerajaan Negeri Perak, Jabatan Mineral dan Geosains serta Jawatankuasa Badan Pengurusan Lenggong Geopark.

“Pengiktirafan ini bukan sahaja untuk Negeri Perak dan Malaysia, tetapi juga untuk seluruh penduduk Lenggong,” katanya menerusi hantaran di Facebook rasmi beliau.

Pengiktirafan terbaharu itu dijangka merancakkan sektor pelancongan, sekali gus memberi manfaat ekonomi lebih besar kepada komuniti setempat.

Sementara itu, Datuk Seri Shamsul Anuar menyifatkan kejayaan tersebut sebagai pencapaian besar yang akan terus diperkasa melalui promosi serta pembangunan pelancongan berterusan.

Menurut beliau, penglibatan komuniti dalam keusahawanan pelancongan akan diperluas merangkumi sektor penginapan, kraftangan, makanan, pengangkutan dan pengurusan acara melalui Jawatankuasa Geokomuniti Lenggong Geopark.

Katanya, pelbagai inisiatif telah dan akan dilaksanakan termasuk Geoschool Lenggong Geopark, GEOENTREPRENEUR, Bangsawan Lembah Lenggong serta penganjuran Lenggong Dialog 2026.

Beliau turut menegaskan fokus utama kini adalah menjadikan Lenggong sebagai pusat pendidikan terbuka bertaraf antarabangsa menerusi kerjasama dengan institusi pengajian tinggi, termasuk Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

“Langkah awal telah dimulakan melalui program Lawatan Akademi pada Mac lalu dan UTM menjadi universiti terawal membuka pusat kajian di Lenggong.

“Saya juga berhasrat menubuhkan Institut Lembah Lenggong bagi menarik penyertaan IPTA, IPTS serta institusi luar negara, seterusnya menjadikan Lenggong destinasi pelancongan pendidikan bertaraf antarabangsa,” katanya.

Dalam masa sama, beliau berharap sokongan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dapat memperkukuh pembangunan infrastruktur bagi melonjakkan lagi potensi Lenggong sebagai destinasi pelancongan berimpak tinggi.

FOTO FB Saarani Mohamad