
PUTRAJAYA, 27 April – Seorang penganggur dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen, hari ini daripada tuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun yang didakwa dilakukannya empat tahun lalu.
- Hakim Datin M Kunasundary mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan keraguan munasabah terhadap tertuduh.
- Pegawai penyiasat didapati cuai; hanya merekod kenyataan dua saksi sebelum menahan tertuduh.
- Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017, perbuatan didakwa di Damansara Perdana.
- Peguam tertuduh kata satu lagi kes digugurkan selepas ibu mangsa menarik balik laporan; pendakwaan diwakili Norhana Sahat.
Hakim Datin M Kunasundary membuat keputusan itu terhadap Na Li Jin, 34, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan keraguan munasabah terhadap tertuduh.
Li Jin yang sebelum ini berkerja sebagai guru tuisyen dan pemandu van sekolah didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017, melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak lelaki yang ketika itu berusia lapan tahun lapan bulan.
Dia didakwa melakukan perbuatan memegang dan menghisap kemaluan kanak-kanak terbabit bagi tujuan seksual di sebuah rumah di Damansara Perdana antara 7 hingga 8 Oktober 2022.
Kunasundary dalam keputusan penghakimannya berkata, mahkamah itu mendapati pegawai penyiasat kes berkenaan cuai dalam menjalankan siasatan dan hanya merakamkan kenyataan dua saksi sebelum menahan Li Jin.
Beliau berkata, adalah menjadi tanggungjawab pegawai penyiasat untuk memastikan semua aspek dalam kes terhadap mangsa ini disiasat dengan secara menyeluruh dan lengkap, termasuk perkara membabitkan pemilikan premis di mana kesalahan didakwa dikatakan telah berlaku.
“Selepas menilai semua bukti yang dikemukakan di mahkamah ini, mahkamah mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap ketepatan pendakwaan yang dihadapi oleh tertuduh di mahkamah ini.
“Pihak pendakwaan telah gagal untuk membuktikan bahawa kes ini melepasi keraguan munasabah, justeru tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan,” katanya.
Sementara itu, peguam yang mewakili Li Jin, Muhammad Amirul Mukminin Mohd Sufian, ketika ditemui di luar mahkamah, berkata anak guamnya sebelum itu berdepan dengan satu lagi kes membabitkan kesalahan mengikut akta sama tetapi kes berkenaan digugurkan selepas ibu mangsa menarik balik laporannya.
Pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Norhana Sahat.