
MEKAH, 24 April– Pemakaian kad Nusuk kini menjadi syarat wajib bagi setiap jemaah haji.
- Tindakan dikenakan jika ingkar, termasuk larangan memasuki Masjidil Haram.
- Kad Nusuk berfungsi sebagai permit rasmi, menentukan pergerakan jemaah dan kelulusan masuk Makkah serta Masjidil Haram melalui aplikasi.
- Pemeriksaan menyeluruh: imbasan kod dan semakan identiti; jemaah mesti memakai dan mempamerkan kad serta tidak meminjamkannya.
Konsul Jeneral Malaysia di Jeddah, Tengku Mohd Dzaraif Raja Abdul Kadir berkata, kegagalan mematuhinya boleh dikenakan tindakan termasuk larangan memasuki Masjidil Haram.
Jelas beliau, kad Nusuk bukan sekadar dokumen pengenalan diri, sebaliknya berfungsi sebagai permit rasmi yang menentukan pergerakan jemaah sepanjang musim haji.
“Setiap tahun ada peraturan baharu dan penguatkuasaan yang diperketatkan.
Penggunaan kad Nusuk dan aplikasi menjadi kelulusan untuk jemaah memasuki Makkah khususnya ke Masjidil Haram,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Sambutan Jemaah Haji Malaysia KT01 bagi musim haji 1447 Hijrah/2026 Masihi di sini.
Menurut beliau, pemeriksaan kini dilaksanakan secara menyeluruh termasuk imbasan kod dan semakan identiti oleh pihak berkuasa Arab Saudi.
Jemaah diingatkan supaya sentiasa memakai dan mempamerkan kad Nusuk di tempat awam serta tidak meminjamkannya kepada individu lain.
Katanya, langkah itu penting bagi mengelakkan kemasukan individu tanpa permit sah yang boleh menyebabkan jumlah jemaah meningkat secara tidak terkawal, malah berpotensi melebihi dua juta orang.
Tambah beliau, kebanyakan peraturan tersebut bukanlah baharu sepenuhnya, namun penguatkuasaan pada musim ini lebih ketat.