Penggunaan digital kekal tinggi, capaian internet meningkat kepada 97.1 peratus

Gaya hidup digital yang aktif terus mendorong penggunaan Internet / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 23 APRIL – Kadar capaian isi rumah di Malaysia kepada peralatan dan perkhidmatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) kekal tinggi dan konsisten dengan 99.5 peratus mempunyai akses kepada telefon bimbit, radio dan televisyen.

RINGKASAN BERITA AI
  • Capaian Internet dan komputer meningkat, masing-masing mencapai 97.1% dan 92.6%.
  • Isi rumah di kawasan bandar terus mencatatkan kadar capaian lebih tinggi berbanding kawasan luar bandar.
  • Penggunaan digital kekal tinggi, rangkaian sosial dominan dan Internet utama untuk mencari maklumat barangan dan perkhidmatan.

Ketua Perangkawan, Datuk Sri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, capaian kepada Internet dan komputer turut merekodkan peningkatan, masing-masing pada 97.1 peratus dan 92.6 peratus.

“Dapatan daripada Laporan Survei Penggunaan dan Capaian ICT oleh Individu dan Isi Rumah 2025 ini adalah sejajar dengan pengukuhan penggunaan teknologi digital dalam masyarakat.

“Pencapaian ini juga menggambarkan usaha berterusan Malaysia dalam memperkukuh keterangkuman digital merentasi semua lapisan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagaimanapun, capaian kepada siaran televisyen berbayar menunjukkan penurunan 62.0 peratus berbanding dengan 67.1 peratus pada tahun 2024, manakala telefon talian susut kepada 27.6 peratus daripada 27.9 peratus tahun sebelumnya.

Berdasarkan lokaliti, isi rumah di kawasan bandar terus mencatatkan kadar capaian lebih tinggi berbanding kawasan luar bandar.

Penggunaan telefon bimbit oleh individu mencapai 99.6 peratus pada tahun 2025, disokong oleh kadar penggunaan yang tinggi di kawasan bandar (99.8%) dan luar bandar (99.1%).

Selain itu, penggunaan komputer yang mencatat peningkatan kepada 81.5 peratus secara keseluruhan didorong oleh peningkatan di kawasan bandar (87.0%) dan luar bandar (65.5%).

Tahap kemahiran ICT dalam kalangan individu juga kekal tinggi dengan lebih 90.0 peratus individu menunjukkan kecekapan dalam tugasan asas seperti menyalin, memindahkan data serta menghantar kandungan melalui pesanan.

Menurut Datuk Sri Dr. Mohd Uzir, gaya hidup digital yang aktif terus mendorong penggunaan Internet di Malaysia.

“Aktiviti rangkaian sosial kekal dominan dengan 99.7 peratus pengguna melibatkan diri di platform seperti Facebook, Instagram dan TikTok.

“Penggunaan media digital juga tinggi, dengan 94.8 peratus individu memuat turun kandungan seperti muzik, video dan permainan.

“Selain itu, 94.6 peratus menggunakan Internet untuk mencari maklumat mengenai barangan dan perkhidmatan, menunjukkan kebergantungan yang semakin meningkat terhadap platform digital dalam urusan harian dan proses membuat keputusan pengguna,” katanya.