Kes seleweng dana zakat RM230 juta, dua individu direman empat hari

Dua individu direman empat hari bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan dana zakat berjumlah RM230 juta. /Foto BERNAMA

SHAH ALAM, 22 April – Dua individu termasuk seorang timbalan pengerusi sebuah badan bukan kerajaan (NGO) ditahan reman empat hari bermula hari ini hingga 25 April bagi membantu siasatan berhubung kes menyeleweng dana zakat berjumlah kira-kira RM230 juta.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perintah reman dikeluarkan Majistret Ameera Mastura selepas SPRM mengemukakan permohonan di Mahkamah Majistret.
  • Kes disiasat mengikut Akta SPRM 2009.
  • SPRM Selangor menahan tiga individu; dua ditahan dalam operasi Lembah Klang, seorang lagi ditahan ketika hadir memberi keterangan.

Perintah reman terhadap kedua-dua lelaki yang masing-masing berumur 57 dan 61 tahun itu dikeluarkan Majistret Ameera Mastura Khamis setelah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengemukakan permohonan di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Kes berkenaan disiasat mengikut Akta SPRM 2009.

Terdahulu kedua-dua individu itu tiba di pekarangan Mahkamah Shah Alam pada 9.07 pagi dengan menaiki van SPRM.

Semalam, SPRM Selangor menahan tiga individu termasuk seorang timbalan pengerusi sebuah NGO kerana disyaki menyeleweng dana zakat berjumlah kira-kira RM230 juta.

Dua lelaki berkenaan ditahan petang semalam dalam operasi di sekitar Lembah Klang, manakala seorang lagi berusia 50-an ditahan pada 2 petang ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Selangor. -BERNAMA