Wolves sah tersingkir dari Liga Perdana

FOTO AFP

LONDON, 21 April – Wolverhampton Wanderers tersingkir dari Liga Perdana Inggeris EPL selepas keputusan seri tanpa jaringan antara West Ham United dan Crystal Palace mengesahkan nasib mereka.

RINGKASAN BERITA AI
  • Wolves hanya mencatat tiga kemenangan daripada 33 perlawanan musim ini, menjadikan musim mereka sangat mengecewakan.
  • Vitor Pereira dipecat awal November dan Rob Edwards mengambil alih tetapi tidak mampu mengubah nasib kelab.
  • Coventry City kendalian Frank Lampard mengesahkan tiket kembali ke Liga Perdana selepas menjuarai Championship, menamatkan penantian 25 tahun.

Kelab dari Midlands itu kini ketinggalan 16 mata di belakang West Ham yang berada di kedudukan ke-17 dengan hanya berbaki lima perlawanan, sekali gus menutup peluang untuk kekal di liga utama dan bakal beraksi di EFL Championship musim depan.

Menghuni tangga tercorot liga, Wolves yang dibimbing Rob Edwards sejak November lalu melalui musim mengecewakan apabila hanya mencatat tiga kemenangan daripada 33 perlawanan.

Walaupun meraih kemenangan mengejut ke atas Aston Villa dan Liverpool sebelum ini, prestasi keseluruhan pasukan dilihat tidak konsisten dan sudah lama diramal bakal tersingkir, sekali gus menamatkan lapan musim berturut-turut mereka di Liga Perdana.

Sebelum ini, Wolves memulakan musim bawah kendalian Vitor Pereira, namun dipecat pada awal November susulan prestasi buruk sebelum digantikan Edwards.

Dalam perkembangan sama, pasukan tangga kedua tercorot, Burnley, turut hampir pasti mengikut jejak Wolves apabila berdepan risiko penyingkiran sekiranya tewas kepada Manchester City pada Rabu ini.

Tottenham Hotspur pula hampir keluar dari zon penyingkiran namun terlepas peluang selepas seri 2-2 dengan Brighton & Hove Albion, selain masih gagal mencatat kemenangan sejak Disember di bawah kendalian Roberto De Zerbi.

Sementara itu, Nottingham Forest dan Leeds United masih berada dalam kelompok perjuangan penyingkiran, namun kedua-duanya meraih kemenangan hujung minggu lalu untuk menjauhkan diri daripada zon bahaya.

Dalam perkembangan lain, Coventry City kendalian Frank Lampard mengesahkan tiket kembali ke Liga Perdana musim depan selepas menjuarai Championship, sekali gus menamatkan penantian selama 25 tahun.-AFP