
KLUANG, 18 April -Sebanyak 500 Kampung Angkat MADANI disasarkan di seluruh negara pada tahun ini, meningkat daripada 219 kampung pada tahun 2025 susulan impak positif program tersebut dalam memperluas akses kemudahan asas di kawasan luar bandar.
- Program memperkukuh usaha merapatkan jurang pembangunan bandar dan luar bandar melalui kerjasama menyeluruh antara kementerian dan agensi.
- PETRA dilantik melaksanakan projek di Kampung Orang Asli Berasau dengan peruntukan RM2.5 juta, fokus pada bekalan elektrik 24 jam dan balai raya.
- Projek termasuk balai raya berbumbung solar dan sistem fotovoltaik bersepadu dengan simpanan tenaga, menjadikan Kampung Berasau contoh ketersediaan kemudahan asas.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, peluasan itu memperkukuh usaha merapatkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar melalui kerjasama menyeluruh antara kementerian serta agensi.
Beliau berkata inisiatif yang diperkenalkan menerusi Belanjawan 2024 itu telah memberi manfaat kepada 43 kampung pada tahun pertama pelaksanaannya sebelum meningkat lebih lima kali ganda pada tahun berikutnya.
Ia merupakan usaha berterusan kerajaan untuk merapatkan jurang pembangunan bandar dan luar bandar serta memastikan tiada komuniti tercicir daripada arus pembangunan negara,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata demikian ketika berucap pada majlis penyempurnaan Projek Kampung Angkat MADANI Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) di Kampung Orang Asli Berasau di sini.
Beliau berkata PETRA dipertanggungjawabkan melaksanakan projek di kampung itu dengan peruntukan RM2.5 juta selepas mengenal pasti keperluan utama penduduk iaitu bekalan elektrik 24 jam yang stabil serta kemudahan balai raya bagi kegunaan komuniti.
Datuk Seri Fadillah berkata, projek berkenaan merangkumi pembinaan balai raya berbumbung solar tertutup serta pemasangan sistem fotovolta bersepadu dengan kapasiti lebih 50 kilowatt puncak dan sistem penyimpanan tenaga bateri sebanyak 516 kilowatt jam, yang mampu membekalkan elektrik berterusan selama 24 jam kepada lebih 20 rumah dan balai raya.
Sementara itu, Kampung Orang Asli Berasau di Kahang, di sini menjadi perkampungan Orang Asli pertama yang menerima bekalan elektrik 24 jam melalui sistem fotovoltaik bersepadu (integrated photovoltaic system).
Pembinaan balai raya berbumbung solar tertutup itu turut memberi manfaat kepada 20 buah rumah di kampung tersebut.
“Dimana ianya dapat mencapai 50kw jam dan ditambah dengan bateri sehingga 516kw. Maknanya ia boleh bekalkan elektrik selama 24 jam , jadi syabas dan tahniah kepada tok batin dan semua yang telah menerima kemudahan ini,” kata Datuk Seri Fadillah.
Kampung berkenaan diharap menjadi contoh kepada kampung orang asli yang lain daripada aspek ketersediaan kemudahan asas.