Samun bersenjata kedai emas, 4 diburu

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 16 April – Polis sedang giat memburu empat lelaki yang terlibat dalam kejadian samun bersenjata api di sebuah kedai emas di Jalan Tun Sambanthan, Brickfields, di ibu negara, pagi tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Suspek dipercayai memasuki premis bersenjatakan dua pistol dan melarikan 21 dulang emas seberat kira-kira 15 kilogram.
  • Nilai kerugian dianggarkan RM9.7 juta; suspek turut melarikan senapang patah milik pengawal keselamatan dan sebutir peluru.
  • Kes disiasat di bawah Seksyen 395/397; orang ramai diminta hubungi Hotline Balai Polis Brickfields 03-2297 9222 atau 03-2115 9999.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira pukul 11.00 pagi.

“Suspek yang identitinya belum dikenal pasti dipercayai memasuki premis berkenaan dengan bersenjatakan dua pucuk pistol sebelum melarikan 21 dulang emas yang beratnya dianggarkan 15 kilogram.

“Nilai kerugian kira-kira RM 9.7 juta. Suspek juga bertindak melarikan sepucuk senapang patah milik pengawal keselamatan bersama sebutir peluru,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Hotline Balai Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.