KEMAS anjur program kemahiran rapatkan jurang pendapatan masyarakat

Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya bersama peserta program/Foto RTM

KANGAR, 15 April – 16 peserta sekitar Kangar terpilih menyertai Program Sijil Kemahiran Modular Kebaya Moden.

RINGKASAN BERITA AI
  • Program KEMAS memberi kemahiran praktikal menjahit dengan yuran berpatutan.
  • Latihan bukan sahaja tambah kemahiran malah mampu jana pendapatan dan berdikari.
  • Usaha berterusan buka peluang perniagaan, tingkatkan taraf hidup generasi muda, suri rumah dan usahawan kecil.
  • KEMAS fokus kurangkan jurang pendapatan bandar dan luar bandar dengan program baru perkasakan usahawan.

Program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif Program Pendidikan Kemahiran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) yang bertujuan memberi kemahiran praktikal kepada peserta, dengan yuran yang berpatutan.

Pengerusi Jawatankuasa Komuniti KEMAS Kangar Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya dalam kenyataannya memaklumkan, menerusi program sebegini setiap peserta bukan sahaja dapat menambah kemahiran menjahit malah ia mampu menjana pendapatan sendiri dan berdikari.

Program ini juga antara usaha berterusan untuk membantu komuniti menambah kemahiran, membuka peluang perniagaan dan tingkatkan taraf hidup masyarakat setempat khususnya di kalangan generasi muda, suri rumah atau usahawan kecil.

Beliau berkata demikian pada Perasmian Penutup Program Sijil Kemahiran Modular Kebaya Moden di Bengkel Jahitan Kampung Binjal, Utan Aji.

KEMAS kini giat memberi penekanan ke arah meningkatkan jurang pendapatan masyarakat di bandar dan luar bandar seluruh negara dengan memperkenalkan beberapa program baharu dalam melahir dan memperkasakan golongan usahawan.