Bekalan minyak negara cukup, isu kehabisan bersifat terpencil – Anthony Loke

Anthony Loke

PUTRAJAYA, 14 April- Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menyifatkan dakwaan bahawa terdapat stesen minyak kehabisan bekalan sebagai kes terpencil.

RINGKASAN BERITA AI
  • Bekalan minyak negara kekal mencukupi menurut kenyataan kerajaan, mengurangkan kebimbangan awam terhadap kemungkinan kekurangan stok.
  • Kehabisan stok berlaku apabila permintaan meningkat terhadap jenama tertentu, menyebabkan bekalan tidak sempat diisi semula segera.
  • Syarikat minyak dan pembekal mesti pastikan rantaian bekalan berjalan lancar bagi mengelakkan gangguan berulang.
  • Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup akan terus memantau bagi memastikan bekalan bahan api stabil.

Jelas beliau, situasi berkenaan juga tidak menggambarkan keadaan sebenar bekalan bahan api di negara ini secara menyeluruh.

“Saya melihat perkara ini sebagai kes terpencil — bukan kerana ketiadaan bekalan secara menyeluruh. Mungkin terdapat isu penghantaran atau permintaan tinggi di stesen tertentu,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Menurut beliau, bekalan minyak negara kekal mencukupi seperti dimaklumkan kerajaan sebelum ini, sekali gus menepis kebimbangan orang ramai terhadap kemungkinan kekurangan bekalan berkenaan.

Beliau berkata situasi kehabisan stok boleh berlaku apabila permintaan meningkat terhadap jenama minyak tertentu, menyebabkan bekalan tidak sempat diisi semula dalam tempoh segera.

Sehubungan itu, beliau menekankan kepentingan syarikat minyak dan pembekal memastikan rantaian bekalan berjalan lancar bagi mengelakkan gangguan berulang.

Dalam masa sama, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan terus memantau situasi berkenaan bagi memastikan bekalan bahan api kekal stabil dan tidak terganggu.