Keselamatan tenaga jadi keutamaan strategik negara

Datuk Seri Fadillah Yusof

KUALA LUMPUR, 14 April Keselamatan tenaga kini bukan lagi satu pilihan, sebaliknya telah menjadi keutamaan strategik negara susulan gangguan di Selat Hormuz yang terus memberi cabaran kepada pasaran tenaga global.

RINGKASAN BERITA AI
  • Memperkukuh sumber tenaga domestik yang stabil dan mampan bagi menjamin daya tahan jangka panjang.
  • Program CGPP membolehkan pembekal tenaga boleh baharu menyalurkan bekalan terus kepada pengguna korporat.
  • Kejayaan projek di bawah CGPP membuktikan dasar kerajaan berkesan, membuka ruang penyertaan swasta dan percepatkan tenaga boleh baharu.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, selari dengan persekitaran itu Malaysia perlu terus memperkukuh kedudukan dengan membangunkan sumber tenaga domestik yang stabil dan mampan bagi menjamin daya tahan jangka panjang.

Antara langkah yang sedang dilaksanakan ke arah itu ialah menerusi Program Corporate Green Power Programme (CGPP), yang membolehkan pembekal tenaga boleh baharu menyalurkan bekalan secara terus kepada pengguna korporat, sekali gus menandakan perubahan dasar penting dalam landskap tenaga negara.

“Bekalan tenaga bersih kini menjadi antara faktor utama dalam menentukan keputusan pelaburan dalam ekonomi global masa kini.

“Syarikat multinasional, termasuk Micron, serta sektor pertumbuhan tinggi seperti semikonduktor, pusat data dan pembuatan maju, semakin dipengaruhi komitmen penyahkarbonan dan keperluan kelestarian,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyiapan Projek Program Tenaga Hijau Korporat (CGPP) di ibu negara.

Kejayaan projek Setia Kawan Energy dan Selarong Pertama Energy bawah CGPP membuktikan dasar kerajaan mampu diterjemahkan kepada pembangunan infrastruktur tenaga bersih yang nyata, selain membuka ruang lebih luas kepada penyertaan sektor swasta dalam mempercepat penggunaan tenaga boleh baharu.

Pada masa sama, pendekatan itu juga dilihat penting dalam memastikan sistem tenaga negara kekal lebih berdaya tahan, selamat dan bersedia menghadapi ketidaktentuan pasaran global pada masa depan.