
KUALA LUMPUR, 14 April – Konflik berterusan di Asia Barat kini kekal memberi cabaran terhadap krisis tenaga global dengan kesan berantai atau ‘domino effect” dijangka memberi impak besar kepada ekonomi dunia termasuk Malaysia dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
- Konflik ganggu laluan perdagangan tenaga, terutama Selat Hormuz, ancam kestabilan bekalan minyak dunia.
- Risiko krisis tenaga berpotensi setanding krisis minyak 1970-an, boleh picu lonjakan harga global dan tekanan inflasi.
- Kesan domino meluas kepada logistik, makanan, pertanian dan pembuatan akibat kenaikan kos pengangkutan dan operasi.
- Perlu percepat kepelbagaian sumber tenaga, fokus kepada tenaga boleh diperbaharui dan penggunaan kenderaan elektrik untuk ketahanan.
Menurut Pensyarah Kanan, Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Umi Hamidaton Mohd Soffian Lee, krisis tersebut bukan sahaja melibatkan sektor petroleum dan gas, malah turut menjejaskan pelbagai sektor lain termasuk perkhidmatan, industri dan rantaian bekalan global.
Konflik yang melibatkan kuasa besar di Asia Barat telah menjejaskan laluan strategik perdagangan minyak dunia, khususnya di Selat Hormuz yang menjadi nadi utama pengangkutan tenaga global.
“Sekitar 20 peratus bekalan minyak dunia melalui laluan ini setiap hari. Sebarang gangguan akan memberi kesan segera kepada imbangan bekalan global dan menyebabkan lonjakan harga tenaga,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Program Selamat Pagi Malaysia (SPM) di Angkasapuri Kota Media di sini.
Situasi itu juga berpotensi menjadi antara krisis tenaga terbesar sejak krisis minyak dunia pada era 1970-an. Dalam konteks Malaysia, kerajaan masih memberi perlindungan melalui subsidi bahan api seperti RON95, namun pakar menjangkakan kesan sebenar akan mula dirasai menjelang pertengahan tahun ini.
“Walaupun kita masih dilindungi subsidi, kenaikan harga tenaga di peringkat global akhirnya akan memberi kesan kepada ekonomi domestik dan kehidupan harian rakyat,” jelasnya.
Beliau turut menekankan bahawa krisis itu bukan hanya terhad kepada tenaga, sebaliknya memberi kesan domino kepada sektor lain termasuk makanan dan logistik.
“Apabila harga minyak meningkat, kos pengangkutan darat, laut dan udara turut naik. Ini meningkatkan kos logistik global dan menyebabkan harga barangan termasuk makanan menjadi lebih mahal,” ujarnya.
Selain itu, sektor pertanian dan pembuatan juga terkesan apabila kos operasi meningkat, sekali gus menyumbang kepada tekanan inflasi.
Dalam usaha menangani situasi ini, kerajaan disaran mempercepatkan kepelbagaian sumber tenaga termasuk peralihan kepada tenaga boleh diperbaharui seperti solar serta penggunaan kenderaan elektrik (EV).
“Kita perlu mengurangkan kebergantungan kepada satu sumber tenaga sahaja. Peralihan kepada tenaga hijau adalah strategi jangka panjang yang penting untuk ketahanan negara,” katanya.
Pengalaman Malaysia mengurus krisis ekonomi sebelum ini boleh dijadikan asas dalam membentuk dasar baharu bagi menghadapi cabaran global semasa.
Krisis tenaga global akibat konflik Asia Barat bukan sahaja memberi kesan kepada bekalan tenaga, malah mencetuskan rantaian impak yang meluas terhadap ekonomi, industri dan kehidupan rakyat di seluruh dunia.