
KUALA LUMPUR, 14 April – Seramai 11 atlet tempatan dikenal pasti dalam penilaian awal oleh jenama sukan antarabangsa, Brooks, sebagai sebahagian usaha menyokong pembangunan atlet merentasi pelbagai disiplin.
- Paragon Vest meneliti pendekatan sesuai bagi memastikan sokongan atlet selaras dengan keperluan individu.
- Fokus sokongan lebih luas bukan hanya larian, termasuk latihan menyeluruh dan elemen kardio untuk pelbagai sukan.
- Larian dijadikan asas kecergasan tetapi berisiko kecederaan jika peralatan tidak sesuai; usaha dibuat untuk latihan lebih selamat dan efektif.
- Pembukaan cawangan baharu diserikan kehadiran beberapa atlet kebangsaan dan tokoh sukan tempatan.
Pengarah Paragon Vest, Victor Tiew berkata, pihaknya kini meneliti pendekatan terbaik bagi memastikan sokongan yang diberikan bersesuaian dengan keperluan setiap atlet.
Menurutnya, tumpuan tidak lagi terhad kepada sukan larian semata-mata, sebaliknya merangkumi keperluan latihan menyeluruh yang turut melibatkan elemen kardio dalam semua jenis sukan.
“Setiap atlet memerlukan latihan larian sebagai asas kecergasan, namun ia juga boleh meningkatkan risiko kecederaan jika tidak disokong dengan peralatan sesuai.
“Justeru, kami mahu membantu atlet menjalani latihan dengan lebih selamat dan efektif,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis pembukaan cawangan baharu jenama itu di ibu negara, pada Isnin.
Majlis berkenaan turut dihadiri beberapa atlet kebangsaan termasuk Mohamad Aniq Kasdan dan Muhamad Aznil Bidin.
Turut hadir atlet berbasikal trek Muhammad Fadhil Mohd Zonis, Nur Aisyah Mohamad Zubir serta Anis Amira Rosidi.
Selain itu, atlet Muay Thai Amisha Azril, pelumba Qabil Irfan Azlan serta pengurus ZK Racing, Zulfahmi Khairuddin turut memeriahkan acara.