
KUALA LUMPUR, 12 April – Kepelbagaian di negara ini bukan satu cabaran, sebaliknya merupakan aset besar negara yang perlu dipelihara dan dimartabatkan.
- Setiap etnik membawa sejarah, nilai, bahasa dan tradisi unik yang menyumbang kepada pembinaan negara dinamik.
- Setiap komuniti memainkan peranan penting dalam pembangunan ekonomi, sosial, pendidikan dan kebudayaan negara.
- Memperkasa komuniti membawa kemajuan menyeluruh; kepelbagaian menjadi asas perpaduan melalui saling mengenali dan menghormati.
- Perayaan Songkran melambangkan kegembiraan, kesyukuran dan permulaan baharu yang diraikan bersama keluarga serta komuniti.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, setiap etnik membawa bersama sejarah, nilai, bahasa dan tradisi unik yang menyumbang kepada pembinaan sebuah negara dinamik, berwarna-warni dan berjiwa besar.
“Di Malaysia, kita berbangga kerana mempunyai kira-kira 70,000 rakyat daripada etnik Siam yang menjadi sebahagian daripada wajah kepelbagaian negara ini.
“Sesungguhnya, Malaysia berdiri megah atas kekuatan kepelbagaian lebih 200 etnik dan subetnik yang wujud di negara ini,” katanya menerusi catatan di Facebook sambil mengucapkan selamat menyambut Perayaan Songkran kepada semua rakyat Malaysia berketurunan Siam.
Tegas beliau, setiap komuniti tanpa mengira latar belakang memainkan peranan penting dalam pembangunan negara merangkumi aspek ekonomi, sosial, pendidikan dan kebudayaan.
“Apabila satu komuniti diperkasakan, seluruh negara akan turut maju. Kepelbagaian etnik merupakan asas kepada perpaduan nasional yang membuka ruang untuk rakyat saling mengenali, memahami dan menghormati antara satu sama lain,” katanya.
Dalam konteks Negara Bangsa, perkongsian identiti berlandaskan nilai saling hormat, semangat kebersamaan dan komitmen terhadap keamanan serta kemajuan negara menjadi teras utama menyatukan rakyat Malaysia walaupun berbeza dari segi budaya, bahasa dan kepercayaan.
“Inilah yang mengikat kita sebagai satu bangsa utuh, dengan kepelbagaian bukan memisahkan, tetapi menyatukan,” katanya.
Mengenai Songkran, Datuk Aaron menyifatkan perayaan itu sebagai lambang kegembiraan, kesyukuran dan permulaan baharu yang diraikan bersama keluarga serta komuniti.
Songkran disambut sebagai Tahun Baharu tradisional Thailand dan masyarakat Siam dari 13 hingga 15 April setiap tahun, menandakan berakhirnya musim kemarau dan permulaan musim hujan.