
KUALA LUMPUR, 12 April -Ringgit dijangka mengekalkan trajektori pengukuhan minggu depan dan berpotensi melepasi paras 3.95 dalam sentimen positif namun kekal berhati-hati terhadap perkembangan di Asia Barat.
- Sentimen pasaran tertumpu kepada perkembangan di Iran dan potensi pembukaan semula Selat Hormuz yang mempengaruhi risiko.
- Pasaran memantau ucapan pegawai Fed serta data ekonomi bercampur untuk petunjuk kesan konflik.
- Kenanga jangka pelabur berhati-hati, ringgit dijangka 4.00 hingga 4.05; 3.95 mungkin jika ketegangan reda.
- Ringgit mengukuh minggu ke minggu berbanding mata wang utama dan ASEAN, disokong minat belian berterusan.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata pasaran kekal memberi tumpuan kepada perkembangan di Iran manakala gencatan senjata yang berterusan serta potensi pembukaan semula Selat Hormuz terus mempengaruhi sentimen.
“Pasaran juga akan memantau beberapa ucapan oleh pegawai Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed) untuk mendapatkan petunjuk lanjut mengenai kesan konflik itu, selain data ekonomi terkini yang bercampur-campur,” katanya.
Sementara itu, Kenanga Investment Bank Bhd menjangkakan pasaran kekal dengan sentimen berhati-hati pelabur serta bertahan daripada membuat pegangan jangka panjang bagi ringgit.
“Gencatan senjata itu dilihat sangat lemah, manakala tentangan Israel terhadap diplomasi baharu merumitkan usaha ke arah perjanjian yang lebih menyeluruh. Krisis ketenteraan berterusan di Lubnan juga berisiko memuncak semula, sekali gus menjadikan premium risiko Selat Hormuz tinggi.
“Kami menjangkakan ringgit didagangkan dalam julat 4.00 hingga 4.05, memandangkan ketidakyakinan geopolitik mengatasi kelegaan sementara. Pergerakan ke arah 3.95 adalah mungkin jika ketegangan terus reda,” menurutnya dalam nota penyelidikan pada Jumaat.
Berasaskan minggu ke minggu, ringgit mengukuh berbanding mata wang utama dan unit ASEAN, disokong oleh minat belian berterusan susulan optimisme dan sentimen berhati-hati terhadap perkembangan di Asia Barat.
Ringgit melonjak berbanding dolar AS kepada 3.96pada Jumaat daripada 4.02 pada akhir minggu dagangan lepas.
Unit tempatan juga diniagakan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama minggu ini.
Mata wang domestik mengukuh berbanding pound British kepada 5.3248/3322 daripada 5.3326/3399 dan meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.4882/4918 daripada 2.5247/5285.
Ringgit lebih stabil berbanding euro kepada 4.6401/6465 daripada 4.6513/6576 minggu lepas.
Unit domestik meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1093/1139 daripada 3.1341/1389 dan mengukuh berbanding baht Thailand kepada 12.3289/3525 daripada 12.3585/3841.
Ringgit lebih kukuh berbanding rupiah Indonesia kepada 231.6/232.0 daripada 237.2/237.7, dan meningkat berbanding peso Filipina kepada 6.60/6.62 daripada 6.68/6.71 minggu lepas.