
KUALA LUMPUR, 11 April – Pelumba JDT Racing Team, Hafizh Syahrin Abdullah meraih kemenangan selesa dalam Perlumbaan 1 pusingan pertama kategori ASB1000 FIM kejuaraan Motorsikal Asia (ARRC) 2026, hari ini.
- Hafizh mempamerkan tunggangan konsisten dari awal hingga ke garisan penamat.
- Beliau memanfaatkan Ducati Panigale V4R untuk meninggalkan pencabar, menamatkan dengan kelebihan 4.026 saat.
- Mengalami masalah fizikal dan kurang tenaga akibat kehilangan banyak air, beliau ambil 'power gel' dan perlu rehat.
- Keito Abe dan Andi Farid Izdihar lengkapkan podium ASB1000; Md Helmi Azman menang perlumbaan SS600.
Perlumbaan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) itu menyaksikan pelumba berusia 31 tahun berkenaan mempamerkan tunggangan konsisten dari awal hingga ke garisan penamat.
Selaku juara bertahan, beliau memanfaatkan sepenuhnya keupayaan jentera Ducati Panigale V4R untuk meninggalkan pencabar seawal perlumbaan, sebelum menamatkan saingan dengan kelebihan 4.026 saat.
Namun, beliau mengakui faktor fizikal sedikit menjejaskan prestasinya susulan kehilangan tenaga sepanjang perlumbaan.
“Walaupun cuaca tidak terlalu panas, namun bahang yang dirasai menyebabkan saya kehilangan banyak air dalam badan sehingga kekurangan tenaga hari ini. Saya telah cuba mengambil makanan tambahan dan ‘power gel’ berdasarkan pengalaman sebelum ini, namun prestasi masih belum mencapai tahap 100 peratus.”
“Buat masa ini, saya perlukan masa untuk berehat dan berharap keadaan akan kembali pulih menjelang esok,” kata Hafizh selepas perlumbaan.
Keputusan Perlumbaan 1 menyaksikan pelumba pasukan SDG MS Harc-Pro Honda Philippines, Keito Abe, menduduki tempat kedua, manakala rakan sepasukan Hafizh, Andi Farid Izdihar, melengkapkan podium di tempat ketiga.
Sementara itu, dalam kategori SS600, pelumba negara daripada pasukan IDEMITSU Honda Racing Malaysia, Md Helmi Azman, turut cemerlang apabila muncul juara dalam Perlumbaan 1.
Tempat kedua menjadi milik pelumba Yamaha Thailand Racing Team, Anupab Sarmoon, manakala wakil Astra Honda Racing Team, Herjun Atna Firdaus, menamatkan saingan di kedudukan ketiga.