ANGKASA, KOOPSENI santuni artis veteran

Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah

KUALA LUMPUR, 11 April Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) dan Koperasi Anak Seni Malaysia Berhad (KOOPSENI) terus memperkukuh usaha menyantuni anak seni dengan menghargai jasa serta sumbangan para seniman yang juga merupakan ahli koperasi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Program CSR ANGKASA mencerminkan komitmen berterusan menjaga kebajikan seniman, termasuk menyemarakkan keceriaan Aidilfitri penerima.
  • Sepanjang Ramadan, ANGKASA memperuntukkan hampir RM500,000 untuk pengagihan barangan keperluan harian kepada komuniti dan ahli kurang berkemampuan.
  • KOOPSENI menyelaraskan senarai bantuan secara bersasar, telah mengenal pasti 15 penggiat seni kurang bernasib baik untuk diuruskan.

Presiden ANGKASA Datuk Seri Dr. Abdul Fattah Abdullah berkata, program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) agensi itu mencerminkan komitmen berterusan dalam menjaga kebajikan golongan memerlukan, khususnya para seniman yang telah banyak menyumbang kepada industri seni tanah air.

“Sumbangan tersebut diharapkan dapat menceriakan para penerima bagi menyambut Aidilfitri, sekali gus membuktikan tanggungjawab sosial korporat (CSR) pihak koperasi dan ANGKASA,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan ke kediaman dua artis veteran, Zack Taipan dan Sathiya di sekitar ibu negara, hari ini.

Menurut beliau, sepanjang Ramadan tahun ini, ANGKASA telah memperuntukkan hampir RM500,000 bagi program CSR yang melibatkan pengagihan barangan keperluan harian kepada komuniti, rakan media, serta ahli koperasi yang kurang berkemampuan di seluruh negara.

Sementara itu Pengerusi KOOPSENI, Akram Khan Fakir memaklumkan ketika ini pihaknya giat menyelaraskan senarai penggiat seni yang kurang bernasib baik bagi memastikan bantuan dapat disalurkan secara bersasar.

“Apa yang perlu kita dahulukan ialah menyusun nama-nama individu yang tergolong dalam golongan kurang bernasib baik. Itu yang kita laksanakan terlebih dahulu, dan setakat hari ini kita telah mengenal pasti 15 nama untuk diuruskan,” katanya.

Sumbangan wang ringgit serta barangan makanan asas yang disalurkan kepada penerima merupakan tajaan pihak ANGKASA manakala KOOPSENI diberi tanggungjawab mengedarkan kepada penerima terlibat.