Masters 2026: McIlroy, Burns kongsi kedudukan pendahulu

Juara bertahan, Rory McIlroy berkongsi kedudukan pendahulu pada hari pertama kejohanan Masters 2026./foto AFP

AUGUSTA, 10 April – Juara bertahan, Rory McIlroy dan pemain Amerika Syarikat, Sam Burns, masing-masing mencatat lima bawah par 67 untuk berkongsi kedudukan pendahulu pada hari pertama kejohanan Masters ke-90 di Augusta National.

RINGKASAN BERITA AI
  • McIlroy, ranking kedua dunia, berazam menjadi pemain keempat menjuarai Masters secara berturut-turut.
  • Jason Day, Patrick Reed dan Kurt Kitayama mengikut rapat dengan catatan 69 pukulan.
  • Scottie Scheffler, pemenang empat gelaran utama, sedang memburu jaket hijau ketiganya dalam lima musim.

McIlroy, yang kini berada di ranking kedua dunia, berazam untuk muncul sebagai pemain keempat dalam sejarah yang memenangi jaket hijau secara berturut-turut.

Beliau mempamerkan aksi cemerlang dengan melakukan tiga birdie berturut-turut di lubang 13, 14 dan 15.

Sementara itu, Burns yang merupakan pendahulu pada Terbuka AS tahun lalu, mula mengorak langkah selepas berupaya melakukan birdie di lubang 12, 13 dan 15.

Keputusan lain menyaksikan pemain Australia, Jason Day, bersama dua wakil Amerika Syarikat, Patrick Reed dan Kurt Kitayama, mengekori rapat dengan 69 pukulan.

Bintang Ireland, Shane Lowry, serta Xander Schauffele dan pemain nombor satu dunia, Scottie Scheffler, sekadar melakukan 70 pukulan.

Scheffler, pemenang empat gelaran utama, sedang memburu kejuaraan Masters ketiganya dalam tempoh lima musim.

Sementara itu pemain England, Justin Rose, yang pernah tiga kali muncul naib juara kejohanan tersebut turut menamatkan saingan dengan 70 pukulan selepas melakukan bogey berturut-turut di lubang terakhir.- AFP