
KUALA LUMPUR, 6 April – Polis memburu sekumpulan lelaki yang dipercayai terbabit dalam kejadian khianat dan rusuhan di sebuah pusat hiburan di Cheras, di sini pada tengah hari Ahad.
- Laporan kejadian diterima polis pada pukul 7.30 malam.
- Kejadian berlaku sekitar 1.30 tengah hari; sekumpulan lelaki merempuh pintu pagar menggunakan sebuah lori.
- Kumpulan itu menceroboh pusat hiburan dan melakukan khianat serta memecahkan barangan di dalam premis.
- Kes disiasat mengikut Seksyen 427 dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan; orang ramai diminta tampil memberi maklumat.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus menerusi kenyataan berkata, pihaknya menerima laporan berhubung insiden itu pada pukul 7.30 malam, semalam.
Menurutnya, kejadian dipercayai berlaku kira-kira pukul 1.30 tengah hari apabila sekumpulan lelaki terbabit bertindak merempuh pintu pagar premis menggunakan sebuah lori.
Selain itu, kumpulan lelaki terbabit juga menceroboh masuk ke pusat hiburan tersebut serta melakukan perbuatan khianat dengan memecahkan barangan di dalamnya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan dan Seksyen 148 kanun yang sama kerana merusuh menggunakan senjata.
Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran.