Krisis tenaga: Sektor pendidikan kekal diutama – PM

Foto BERNAMA

KUALA KANGSAR, 4 April – Sektor pendidikan kekal diutamakan kerajaan meskipun dunia berdepan ketidaktentuan susulan krisis tenaga akibat konflik di Asia Barat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perdana Menteri tekankan mutu pendidikan generasi masa depan mesti dipelihara tanpa terjejas.
  • Projek kemudahan pendidikan yang diluluskan akan dilaksanakan segera tanpa kelewatan, kecuali projek besar memerlukan masa panjang.
  • Malaysia mengutamakan peruntukan besar bagi pendidikan, mencerminkan dasar jelas kerajaan berbanding negara meningkatkan perbelanjaan keselamatan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia penting bagi memastikan mutu pendidikan generasi masa depan tidak terjejas.

Beliau memberi jaminan, projek kemudahan pendidikan yang telah diluluskan akan segera dilaksana tanpa sebarang kelewatan.

“Tidak ada sebab projek yang telah diluluskan ditangguhkan, kecuali projek besar yang memerlukan masa panjang. Bagi projek-projek kecil terutama dalam bidang pendidikan dan kesihatan, kita beri keutamaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sesi Ramah Mesra Perdana Menteri Bersama Warga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Clifford Kuala Kangsar dan bekas pelajarnya di sini hari ini.

Menurut beliau, banyak negara kini terpaksa meningkatkan perbelanjaan keselamatan susulan konflik berkenaan, sekali gus menjejaskan peruntukan sektor pendidikan.

Berbeza situasinya di Malaysia, apabila peruntukan besar diluluskan dalam sektor pendidikan, sekali gus mencerminkan dasar serta fokus kerajaan yang jelas dalam pembangunan negara.