Kedai terbakar, suami isteri melecur

FOTO RTM

KUALA KRAI, 3 April – Sepasang suami isteri melecur selepas kedai milik mereka yang menjual barangan sembahyang musnah terbakar di Taman Central Park di sini malam tadi (Khamis).

RINGKASAN BERITA AI
  • Panggilan kecemasan melalui MERS 999 diterima; pasukan bomba tiba lima minit selepas kejadian kira-kira pukul 8.34 malam.
  • Kedai kelengkapan sembahyang seluas 20 kali 80 kaki musnah; sebuah kereta dan sebuah motosikal turut hangus.
  • Operasi dikendalikan 22 anggota dari BBP Kuala Krai, BBP Sungai Durian dan Bomba Sukarela Guchil; kebakaran dikawal pukul 9.25 malam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.34 malam itu, mangsa berusia 39 dan 32 tahun dilaporkan melecur di beberapa bahagian badan, selain turut mengalami kecederaan di bahagian kaki.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai, Nik Ahmad Afsham Nik Pa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui sistem MERS 999 sebelum jentera digerakkan ke lokasi kejadian.

“Pasukan bomba tiba lima minit kemudian dan mendapati api sedang marak marak memusnahkan sebuah kedai menjual kelengkapan sembahyang masyarakat Cina berkeluasan 20 kali 80 kaki,” katanya.

Menurut beliau, impak kebakaran bukan sahaja meranapkan keseluruhan struktur premis, malah turut menghanguskan sebuah kereta dan sebuah motosikal yang diletakkan di hadapan kedai berkenaan.

Kedua-dua mangsa yang tercedera telah dikejarkan ke Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai untuk mendapatkan rawatan kecemasan.

Jelas beliau, operasi pemadaman dikendalikan oleh 22 anggota daripada BBP Kuala Krai, BBP Sungai Durian serta dibantu oleh Pasukan Bomba Sukarela Guchil.

Api berjaya dikawal pada pukul 9.25 malam sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya menjelang tengah malam.

Sehingga kini, punca sebenar kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan