Hidupkan semula teks turath untuk perkasa umat

Foto FB PM

KUALA LUMPUR, 2 April – Usaha menghidupkan kembali teks-teks turath perlu terus dilakukan ke arah memperkasa umat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelancaran Aqaid al-Nasafi mengangkat kembali khazanah pemikiran Islam di Nusantara sebagai tunjang tradisi keilmuan.
  • Kekuatan tamadun bukan hanya pembangunan fizikal tetapi keutuhan akidah dan kedalaman wacana intelektualnya.
  • Rakyat diajak menyemarakkan budaya ilmu dengan membaca, menggarap dan menafsir warisan dengan hikmah.
  • Warisan pemikiran harus subur dalam kehidupan harian agar kekuatan bangsa berteraskan tradisi ilmu dan keteguhan iman.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu selari suasana dunia yang kerap berantakan dengan kekeliruan dan penyimpangan makna.

Menerusi hantaran di Facebook, beliau berkongsi peluncuran karya Aqaid al-Nasafi sebelum ini, sebagai langkah signifikan dalam mengangkat kembali khazanah pemikiran Islam yang telah lama menjadi tunjang tradisi keilmuan di Nusantara.

“Karya ini mengingatkan kita bahawa kekuatan sesebuah tamadun tidak hanya terletak pada pembangunan fizikal tetapi juga pada keutuhan akidah dan kedalaman wacana intelektualnya,” ujarnya.

Datuk Seri Anwar mengajak rakyat terus menyemarakkan budaya ilmu dengan membaca, menggarap serta menafsir dengan hikmah legasi pemikiran tersebut.

Ini bagi memastikan ia bukan sekadar dikenang, tetapi terus subur dalam kehidupan seharian sebagai manusia.

Jelas beliau, disitulah terletaknya kekuatan sebenar sebuah bangsa yang berteraskan tradisi ilmu dan keteguhan iman.