
BANGI, 31 Mac– Sistem Model Pemantauan Kualiti Udara, Community Multiscale Air Quality (CMAQ) dilancarkan sempena Sambutan Hari Meteorologi Sedunia 2026.
- Dibangunkan melalui kerjasama Jabatan Meteorologi Malaysia dan Institut Perubahan Iklim, Universiti Kebangsaan Malaysia.
- MYCMAQ merupakan sistem terbuka yang boleh diakses orang ramai bagi membantu persediaan sewajarnya.
- Inisiatif ini memperkukuh pengurusan bencana negara dan kesiapsiagaan terhadap risiko perubahan cuaca.
- Masalah jerebu hampir setiap tahun kebanyakannya berpunca dari luar negara dan memerlukan pemantauan lebih cekap.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, ia sebagai usaha memperkukuh pengurusan bencana negara.
Jelas beliau, sistem itu dibangunkan menerusi kerjasama Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dan Institut Perubahan Iklim, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
“MYCMAQ merupakan sistem terbuka yang boleh diakses oleh orang ramai.
Melaluinya, data kualiti udara disalurkan bagi membantu orang ramai membuat persediaan sewajarnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Sambutan Hari Meteorologi Sedunia 2026 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini.
Menurut beliau, pembangunan sistem tersebut membuktikan komitmen kerajaan dalam memanfaatkan sains dan teknologi.
Langkah itu bagi memastikan rakyat menerima maklumat kualiti udara yang pantas, tepat dan boleh dipercayai.
Beliau berkata, masalah jerebu yang berlaku hampir setiap tahun kebanyakannya berpunca dari luar kawalan negara.
Keadaan itu memerlukan sistem pemantauan yang lebih cekap dan menyeluruh.
Sementara itu, Datuk Seri Arthur memaklumkan, sambutan tahun ini yang bertemakan “Pemantauan Hari Ini, Perlindungan Hari Esok” menekankan peranan penting meteorologis.
Mereka merupakan barisan hadapan dalam memastikan kesiapsiagaan negara menghadapi perubahan cuaca dan risiko bencana.