
KUALA LUMPUR, 31 Mac – Malaysia mengenal pasti tiga bidang utama sebagai pemacu kerjasama masa depan dengan Jepun yang diharap dapat memperkukuh hubungan perdagangan serta memastikan aliran bekalan sentiasa stabil dan berdaya tahan menghadapi cabaran global.
- Transformasi perindustrian melalui Pelan Induk Perindustrian Baharu, Strategi Semikonduktor Nasional dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara.
- Rangka Kerja Insentif Baharu menekankan kedalaman, kecanggihan, R&D, kemampanan dan kompleksiti ekonomi sebenar.
- MIDA menggesa syarikat Jepun kembangkan operasi dan bina rantaian bekalan tempatan, manakala kerjasama MIDA, MUFG dan JACTIM memudahkan kemasukan pelabur.
Pengerusi Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, fokus tersebut selari dengan keperluan semasa dalam menghadapi ketidaktentuan global serta perubahan landskap industri.
“Malaysia sedang merangka transformasi perindustrian melalui Pelan Induk Perindustrian Baharu, Strategi Semikonduktor Nasional dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara.
“Seiring dengan itu, Rangka Kerja Insentif Baharu menandakan anjakan dalam penilaian pelaburan, di mana insentif tidak lagi berasaskan modal semata-mata, sebaliknya memberi penekanan kepada kedalaman, kecanggihan, penyelidikan dan pembangunan (R&D), kemampanan serta kompleksiti ekonomi sebenar,” katanya dalam ucapannya pada Seminar Kerjasama Industri Jepun-Malaysia Baharu, hari ini.
Dalam pada itu, beliau menggesa syarikat Jepun untuk terus memperluas operasi di Malaysia, membina rantaian bekalan tempatan dan mempercepat pemindahan teknologi bagi menjadikan negara ini hab pengeluaran dan inovasi serantau.
Pada masa sama, kerjasama strategik antara MIDA dan Mitsubishi UFJ Financial Group (MUFG) bersama rangkaian Japan Malaysia Economic Association (JACTIM) akan terus memainkan peranan penting dalam memudahkan kemasukan pelabur.