Indonesia selaras semula program makanan percuma, tangani tekanan ekonomi

FOTO AFP

JAKARTA, 31 Mac – Indonesia mengambil langkah mengurangkan program makanan percuma di sekolah bermula hari ini sebagai usaha menjimatkan perbelanjaan susulan tekanan fiskal akibat konflik Asia Barat dan kenaikan harga minyak global.

RINGKASAN BERITA AI
  • Program makanan dikurangkan kepada lima hari seminggu untuk sekolah rendah dan menengah, kecuali kawasan kadar malnutrisi tinggi masih menerima makan pada hari Sabtu.
  • Langkah itu dijangka menjimatkan sekitar 40 trilion rupiah tetapi boleh disemak semula bergantung kepada keadaan semasa.
  • Dilancarkan Januari 2025 untuk menangani malnutrisi dan bantut, program menyasarkan manfaat kepada kira-kira 83 juta rakyat.
  • Penganalisis kata penjimatan itu mungkin tidak mencukupi; kerajaan perlu pertimbangkan pemotongan perbelanjaan lebih besar dan langkah lain seperti pengurangan bahan api dan WFH.

Program yang menjadi antara inisiatif utama Presiden Prabowo Subianto itu sebelum ini menyediakan makanan enam hari seminggu kepada kira-kira 60 juta kanak-kanak serta wanita hamil dan menyusu.

Namun, kerajaan memutuskan untuk mengurangkannya kepada lima hari seminggu bagi sekolah rendah dan menengah, kecuali di kawasan yang mempunyai kadar malnutrisi tinggi, di mana makanan masih disediakan pada hari Sabtu.

Timbalan Ketua Agensi Pemakanan Nasional, Nanik Sudaryati Deyang berkata langkah itu dijangka menjimatkan sekitar 40 trilion rupiah (kira-kira AS$2.3 bilion), namun ia boleh disemak semula bergantung kepada keadaan semasa.

Dilancarkan pada Januari 2025, program berkenaan bertujuan menangani masalah malnutrisi dan bantut dalam kalangan penduduk negara itu yang berjumlah 284 juta orang, dengan sasaran akhir memberi manfaat kepada 83 juta rakyat.

Dalam masa sama, kerajaan turut mempertimbangkan langkah lain termasuk mengurangkan penggunaan bahan api, memperluas kerja dari rumah, mengurangkan perjalanan rasmi serta menggalakkan penggunaan pengangkutan awam dan kenderaan elektrik.

Ini berikutan konflik Asia Barat yang menjejaskan bekalan tenaga global, sekali gus meningkatkan harga minyak melebihi AS$100 setong berbanding unjuran awal AS$70 dalam bajet 2026.

Penganalisis ekonomi berpandangan langkah penjimatan itu masih belum mencukupi untuk memastikan defisit fiskal kekal di bawah paras tiga peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) seperti ditetapkan undang-undang.

Malah, mereka memberi amaran kerajaan mungkin perlu membuat pelarasan lebih besar terhadap perbelanjaan utama, meskipun langkah pengurangan subsidi sebelum ini pernah mencetuskan bantahan besar-besaran.-AFP