
ANTALYA (TURKIYE), 29 Mac – Pemain pasukan bola sepak kebangsaan Iran memberi penghormatan kepada mangsa serangan udara ke atas sebuah sekolah rendah di negara itu.
- Pemain memakai lilitan hitam dan membawa beg sekolah sebelum perlawanan persahabatan menentang Nigeria.
- Isyarat dilakukan ketika lagu kebangsaan dimainkan di Belek, Turkiye sebagai simbol solidariti kepada mangsa.
- Serangan udara di Minab pada 28 Februari mengorbankan sekurang-kurangnya 170 orang termasuk pelajar dan guru.
- Iran sedang berunding dengan FIFA untuk memindahkan perlawanan Piala Dunia dari Amerika Syarikat ke Mexico atas faktor keselamatan.
Penghormatan itu dizahirkan dengan memakai lilitan hitam serta membawa beg sekolah sebelum perlawanan persahabatan menentang Nigeria.
Aksi itu dilakukan ketika lagu kebangsaan dimainkan sebelum sepak mula di Belek, Turkiye pada Jumaat, sebagai simbol solidariti terhadap mangsa tragedi berkenaan.
Serangan udara yang berlaku di bandar Minab, selatan Iran pada 28 Februari lalu mengorbankan sekurang-kurangnya 170 orang termasuk pelajar dan guru.
Insiden itu berlaku pada hari pertama konflik di Asia Barat susulan serangan yang dilancarkan Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran.
Antara pemain yang terlibat termasuk penyerang Mehdi Taremi yang sebelum ini pernah beraksi bersama kelab FC Porto dan Inter Milan.
Dalam perlawanan itu, Iran tewas 1-2 kepada Nigeria.
Dalam perkembangan berkaitan, Iran yang layak ke pusingan akhir Piala Dunia dilaporkan sedang berunding dengan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) untuk memindahkan perlawanan mereka dari Amerika Syarikat ke Mexico atas faktor keselamatan pemain dan pegawai.
Langkah itu susulan kebimbangan terhadap keselamatan pasukan selepas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump memberi amaran mengenai risiko kepada “nyawa dan keselamatan” pemain sekiranya beraksi di negara itu. – AFP