Krisis global buka peluang baharu buat generasi muda

Pengarah Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Mohd Mursyid Arshad

KUALA LUMPUR, 29 Mac – Golongan generasi muda disaran melihat krisis dunia ketika ini, khususnya akibat konflik di Asia Barat, sebagai peluang untuk mencipta ruang baharu termasuk menjana pendapatan tambahan dengan memanfaatkan teknologi sedia ada.

RINGKASAN BERITA AI
  • Rancang kewangan secara sistematik, sediakan simpanan kontingensi dan kawal perbelanjaan harian.
  • Perkasakan kreativiti dengan memanfaatkan teknologi, media sosial dan platform internet untuk penglibatan ekonomi.
  • Galakkan penyertaan dalam teknologi hijau dan pertanian moden seperti teknologi tanpa tanah untuk ketahanan makanan.
  • Elak panik, kekal tenang dan rasional serta terus berkomunikasi dengan ibu bapa, guru dan pensyarah.

Pengarah Pusat Kokurikulum dan Pembangunan Pelajar, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Madya Dr. Mohd Mursyid Arshad berkata, anak muda juga digalakkan merancang kewangan secara lebih sistematik, termasuk menyediakan simpanan sebagai pelan kontingensi serta mengawal perbelanjaan harian.

Menurut beliau, elemen kreativiti perlu diperkasakan dalam kalangan generasi muda dengan memanfaatkan sepenuhnya penggunaan teknologi, termasuk media sosial dan platform internet bagi meningkatkan penglibatan dalam aktiviti ekonomi.

“Selain itu, penglibatan dalam sektor teknologi hijau wajar diperkasakan. Dalam mendepani krisis semasa, isu keterjaminan makanan dan sektor pertanian perlu diberi perhatian serius.

“Golongan muda digalakkan menceburi bidang pertanian moden seperti teknologi tanpa tanah yang kini semakin berkembang, sekali gus memanfaatkan ruang secara lebih efektif,” katanya ketika ditemui selepas Program Selamat Pagi Malaysia, di sini hari ini.

Tambah beliau, generasi muda perlu mengelakkan sikap panik dalam berdepan situasi semasa, sebaliknya kekal tenang dan rasional dalam membuat keputusan kewangan.

Dalam pada itu, komunikasi berterusan antara golongan muda dan individu terdekat seperti ibu bapa, guru serta pensyarah amat penting bagi membina kefahaman dan kesedaran kolektif, sekali gus membantu mereka memahami peranan serta tanggungjawab dalam mendepani cabaran semasa.