Sarawak perlu lebih ramai saintis teroka biodiversiti untuk perubatan – Abang Johari

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg/Foto UKAS

MIRI, 29 Mac – Sarawak memerlukan lebih ramai saintis tempatan bagi meneroka potensi besar biodiversiti negeri itu dalam bidang perubatan, khususnya bagi mencari penawar penyakit seperti kanser.

RINGKASAN BERITA AI
  • Biodiversiti Sarawak, terutama di kawasan pedalaman seperti Baram, Belaga dan Kapit, mempunyai nilai tinggi masih belum diterokai sepenuhnya.
  • Penubuhan kampus antarabangsa Universiti Fudan di Miri dijangka memperluas peluang penyelidikan dan pembangunan dalam bidang sains serta perubatan.
  • Kerajaan akan perkukuh kerjasama pakar dan menggunakan teknologi kecerdasan buatan untuk mempercepatkan penemuan perubatan berasaskan sumber semula jadi.

Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata kekayaan biodiversiti Sarawak, terutama di kawasan pedalaman seperti Baram, Belaga dan Kapit, mempunyai nilai tinggi yang masih belum diterokai sepenuhnya.

“Kita perlu melihat bagaimana biodiversiti di negeri ini boleh dimanfaatkan untuk dibangunkan sebagai sumber perubatan bagi merawat pelbagai penyakit termasuk kanser.

“Ini bermakna kita memerlukan lebih ramai saintis dalam pelbagai bidang,” katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam sempena Jubli Intan ke-60 Sekolah Menengah Kebangsaan Long Lama, di sini semalam.

Memetik berita Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Abang Johari turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan atas usaha membangunkan kampus universiti.

Ini termasuk penubuhan kampus antarabangsa Universiti Fudan di Miri yang dijangka membuka peluang besar kepada penyelidikan dan pembangunan dalam bidang sains serta perubatan.

Menurut beliau, inisiatif itu juga akan memperkukuh kerjasama dengan pakar melalui penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) bagi mempercepatkan penemuan baharu dalam bidang perubatan berasaskan sumber semula jadi.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan Sarawak terus komited menaik taraf infrastruktur termasuk jaringan jalan raya bagi meningkatkan hubungan antara kawasan pedalaman dan pesisir.

“Kita akan pastikan kawasan seperti Marudi dan Long Lama lebih mudah diakses. Projek pembinaan jalan sepanjang 142 kilometer dari Marudi ke Long Terawan hingga ke Long Lama, Long Panai dan Limbang sedang dilaksanakan.

“Ini bermakna Long Lama tidak lagi jauh,” katanya.