BDR tidak jejas produktiviti, fokus kepada kecekapan kerja

Ketua Pusat Pengajian Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka, Prof Madya Dr Abdul Rauf Ridzuan/RTM

MELAKA, 27 Mac -Langkah kerajaan untuk mempertimbangkan pelaksanaan inisiatif Bekerja Dari Rumah (BDR) dilihat tidak menjejaskan produktiviti perkhidmatan awam secara keseluruhan.

RINGKASAN BERITA AI
  • BDR mengubah pendekatan kerja kepada berasaskan hasil dan meningkatkan fokus pelaksanaan tugasan pentadbiran dan dasar.
  • Tadbir urus dan mekanisme kawalan risiko diperlukan supaya operasi kritikal tidak terjejas dan kesinambungan terpelihara.
  • Pelaksanaan BDR bersasar untuk perkhidmatan bersemuka; pemantauan prestasi, KPI jelas, tempoh penyelesaian dan kualiti mesti diperkukuh.

Sebaliknya bakal mengubah pendekatan kerja kepada lebih berasaskan hasil dan kecekapan.

Ketua Pusat Pengajian Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media (FKPM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Melaka, Prof Madya Dr Abdul Rauf Ridzuan berkata, pendekatan itu membolehkan tugasan pentadbiran dan dasar dilaksanakan dengan lebih fokus.

“Walau bagaimanapun, tanpa mekanisme kawalan risiko, operasi kritikal boleh terjejas.

“Dengan tadbir urus yang tepat, BDR mampu menjadi alat untuk meningkatkan kecekapan organisasi, di samping mengurangkan kos operasi dan mengekalkan kesinambungan perkhidmatan,” katanya ketika ditemui RTM di sini.

Menurut beliau, BDR turut memberi fleksibiliti kepada penjawat awam sekali gus meningkatkan kecekapan kerja dalam pelaksanaan tugas harian.

Namun, katanya, bagi perkhidmatan yang memerlukan interaksi bersemuka seperti kaunter, penguatkuasaan dan sektor kesihatan, pelaksanaan BDR perlu dilaksanakan secara bersasar bagi memastikan penyampaian perkhidmatan tidak terjejas.

Sehubungan itu, beliau menegaskan pemantauan berasaskan prestasi perlu diperkukuh bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan BDR. Ia termasuk penetapan petunjuk prestasi utama (KPI) yang jelas, tempoh penyelesaian tugasan, kualiti kerja serta pematuhan kepada perjanjian tahap perkhidmatan.