Bekalan RON95 kekal stabil hingga Mei

Gambar hiasan

SHAH ALAM, 27 Mac– Bekalan petrol RON95 di negara ini dijangka kekal stabil sekurang-kurangnya sehingga Mei meskipun ketegangan di Asia Barat terus memuncak.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan memandang serius konflik Asia Barat yang berpotensi menjejaskan ekonomi global serta bekalan tenaga.
  • Setakat ini belum ada catuan atau kenaikan harga mendadak bagi RON95.
  • Petronas mempelbagaikan pelaburan di Brazil, Suriname dan Kanada untuk kurangkan kebergantungan rantau tertentu.
  • Iran dalam proses melepaskan kapal minyak Malaysia; Malaysia menghargai kerjasama Presiden Iran dalam pelepasan kapal dan pekerja.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan memandang serius perkembangan konflik di rantau itu yang berpotensi menjejaskan ekonomi global serta bekalan tenaga.

“Kita sekali lagi bersyukur kepada Allah kerana masalah yang kita hadapi ini tidak serumit yang dihadapi banyak negara-negara lain. Kita belum ada catuan dan belum ada kenaikan mendadak.

Setakat ini bekalan RON95 masih terjamin sehingga Mei,” katanya selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, di sini.

Tambah beliau, Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) turut mengambil langkah mempelbagaikan pelaburan di peringkat global.

Menurutnya, langkah itu termasuk di Brazil, Suriname dan Kanada bagi mengurangkan kebergantungan kepada satu-satu rantau.

“Petronas mempunyai pelaburan pelbagai di peringkat global dan tidak hanya bergantung kepada negara tertentu,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri memaklumkan, Iran dalam proses melepaskan kapal minyak Malaysia yang terkesan dengan sekatan di Selat Hormuz.

Beliau berkata, Malaysia menghargai kerjasama Presiden Iran yang memberi laluan awal serta membantu proses pelepasan kapal dan pekerja terlibat.