PDRM, pihak berkuasa Thailand jejaki Zamri Vinoth, Tamim Dahri

Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk M. Kumar/ Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 14 Mac – Pegawai Perhubungan Keselamatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bekerjasama dengan pihak berkuasa Thailand bagi mengesan penceramah bebas, Zamri Vinoth dan aktivis, Tamim Dahri yang melarikan diri ke negara berkenaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pegawai Perhubungan Keselamatan PDRM sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa Thailand.
  • Pemeriksaan mendapati mereka keluar melalui laluan sah; usaha mengesan lokasi mereka sedang dijalankan.
  • PDRM guna peruntukan undang-undang untuk membawa pulang; kertas siasatan dirujuk. Zamri: Seksyen 505(b) dan 4(1). Tamim: Seksyen 295.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata kedua-dua individu terbabit perlu dibawa pulang bagi menghadapi pertuduhan di mahkamah.

“Pemeriksaan mendapati kedua-dua mereka dikesan keluar dari Malaysia melalui laluan sah menuju ke Thailand dan usaha mengesan lokasi mereka sedang dijalankan,” katanya.

Beliau berkata PDRM kini menggunakan peruntukan undang-undang sedia ada bagi membawa pulang mereka untuk didakwa.

Siasatan terhadap Zamri berhubung kenyataannya pada perhimpunan di ibu negara pada 7 Februari lalu telah dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) melibatkan Seksyen 505 (B) Kanun Keseksaan.

Siasatan terhadap Zamri berhubung kenyataan berbaur penghinaan terhadap kaum India juga telah dirujuk ke pejabat pendakwaan Pulau Pinang dan arahan pertuduhan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.

Sementara itu, kertas siasatan melibatkan Tamim berhubung tindakan merosakkan soolam yang menjadi simbol suci bagi agama Hindu di tapak lama kuil di Langkawi, Kedah telah dirujuk ke pejabat pendakwaan Kedah dan arahan pertuduhan mengikut Seksyen 295 Kanun Keseksaan.