PM minta kerjasama Sarawak kekang penyeludupan diesel

Perdana Menteri pada Majlis Buka Puasa MADANI 2026 Peringkat Sarawak di Kuching.

KUCHING, 13 Mac – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta kerjasama kerajaan Sarawak untuk mengekang aktiviti penyeludupan diesel di negeri itu.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerjasama Sarawak diminta bagi mengekang aktiviti penyeludupan diesel.
  • Harga diesel rendah di Sabah dan Sarawak berpotensi mendorong penyeludupan jika tidak dikawal.
  • Kerajaan menanggung subsidi bahan api sekitar RM3.2 bilion sebulan termasuk petrol BUDI95 dan diesel.
  • Tidak bercadang mengubah subsidi RON95 sekarang; fokus pada penjimatan dan pengurusan kewangan bertanggungjawab.

Ini kerana harga diesel yang lebih rendah di Sabah dan Sarawak berpotensi mendorong aktiviti penyeludupan sekiranya tidak dikawal dengan berkesan.

“Saya dah minta Premier (Tan Sri Abang Johari Tun Openg) beri kerjasama sepenuhnya kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menyekat aktiviti
penyeludupan, kerana harga diesel di Sabah dan Sarawak rendah,” katanya.

Menurut Perdana Menteri, kerajaan ketika ini menanggung subsidi bahan api berjumlah keseluruhan sekitar RM3.2 bilion sebulan, melibatkan subsidi petrol BUDI95 dan diesel.

Kata beliau, jika keadaan di Asia Barat berterusan sehingga akhir tahun, jumlah subsidi minyak sahaja boleh mencecah sekitar RM24 bilion.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Buka Puasa MADANI 2026 Peringkat Sarawak di Masjid Jamek , Petra Jaya di Kuching.

Dalam pada itu, beliau mengulangi jaminan untuk tidak bercadang mengubah dasar subsidi RON95 buat masa ini, sebaliknya akan menumpukan kepada langkah penjimatan serta pengurusan kewangan negara secara lebih bertanggungjawab dalam sektor lain.