
KUALA LUMPUR, 12 Mac – Skuad ping pong negara menyasarkan enam atlet untuk melayakkan diri ke Kejohanan Ping Pong Para Dunia ITTF Pattaya 2026 di Thailand pada November.
- Dua atlet kini berada dalam kelompok 20 teratas dunia, memberi kedudukan selesa untuk mengesahkan kelayakan.
- TTAM merencana penyertaan ke kejohanan antarabangsa supaya sekurang-kurangnya empat lagi pemain mengumpul mata kelayakan.
- Fokus bukan hanya acara perseorangan; pasukan meletakkan harapan tinggi pada potensi acara beregu.
- Skuad dijadual sertai kejohanan di China, Taiwan dan Sukan Para Asia Aichi Nagoya 2026; kem latihan pusat luar negara Jun.
Pengurus pasukan ping pong para negara, Dr Syarizal Abdul Rahim berkata, ketika ini hanya Gloria Gracia Wong Sze dan Jennatul Fahmi Ahmad Jennah berada dalam kelompok 20 terbaik dunia sekali gus berada di kedudukan selesa untuk mengesahkan slot ke kejohanan berprestij itu.
“Persatuan Ping Pong Malaysia (TTAM) kini giat merencana penyertaan pemain ke beberapa kejohanan antarabangsa bagi memastikan sekurang-kurangnya empat lagi atlet negara mampu mengumpul mata kelayakan yang mencukupi,” menurutnya selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja di Bukit Jalil, di sini, hari ini.
Tambah beliau, skuad negara tidak hanya fokus dalam acara perseorangan, sebaliknya menaruh harapan tinggi terhadap potensi acara beregu berdasarkan beberapa pencapaian positif sebelum ini dalam menyumbang pingat.
“Kita tahu kekuatan pasukan negara dalam acara beregu juga sangat menyerlah dan mampu memberi cabaran sengit,” katanya.
Mengenai persediaan pula jelasnya, skuad negara dijadual menyertai kejohanan antarabangsa di China dan Taiwan selain Sukan Para Asia Aichi Nagoya 2026 di Jepun.
Selain itu, pasukan negara turut dijadual untuk menjalani kem latihan pusat jangka panjang di Thailand bermula Jun depan.