
SHAH ALAM, 17 Ogos – Sarawak menyapu bersih dua pingat emas dalam acara polo air pada Sukan Malaysia, (SUKMA) 2026 selepas menewaskan tuan rumah, Selangor pada aksi final wanita dan lelaki di Pusat Akuatik Selangor, hari ini.
- Skuad wanita Sarawak dominan sejak awal, mendahului 4-2 pada suku pertama.
- Menambah kelebihan suku kedua 2-1; suku ketiga berkesudahan 3-3.
- Pemanca Tan Kun Gee puji prestasi wanita: "pasukan kita memberikan segala-galanya".
- Skuad lelaki bangkit selepas ketinggalan 2-1, menyamakan 2-2 dan menguasai suku ketiga dengan empat jaringan.
Skuad wanita Sarawak terlebih dahulu menewaskan tuan rumah Selangor, 12-10 pada aksi final, sebelum pasukan lelaki meneruskan momentum dengan mengatasi Selangor, 9-6.
Dalam aksi wanita, Sarawak tampil dominan sejak awal apabila mendahului 4-2 pada suku pertama sebelum menambah kelebihan menerusi kemenangan 2-1 pada suku kedua.
Kedua-dua pasukan kemudian terikat 3-3 pada suku ketiga dengan Selangor cuba bangkit pada suku terakhir dengan kemenangan 4-3, namun Sarawak kekal di hadapan untuk memastikan kemenangan 12-10.
Penolong Ketua Kontinjen (ACDM) Sarawak bagi Sukan Polo Air, Pemanca Tan Kun Gee berkata, kejayaan itu dicapai hasil prestasi terbaik yang dipamerkan skuad wanita Sarawak sepanjang perlawanan.
“Saya sangat gembira kerana prestasi pasukan kita sangat baik. Selangor beraksi di gelanggang sendiri namun kami menewaskan mereka pada pusingan awal dan sekali lagi pada perlawanan akhir.
“Pasukan wanita kita memberikan segala-galanya,” katanya.
Sementara itu, dalam aksi lelaki, Selangor bermula baik dengan mendahului 2-1 pada suku pertama, namun Sarawak bangkit untuk menyamakan kedudukan 2-2 pada suku kedua.
Sarawak kemudian menguasai suku ketiga dengan empat jaringan sebelum menamatkan perlawanan dengan kemenangan, 9-6.
Saingan polo air yang bermula 12 Ogos lalu melabuhkan tirai pada Isnin di Pusat Akuatik Selangor.