Tindakan tegas terhadap isu 3R perlu segera diambil

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil

PUTRAJAYA, 11 Mac — Tindakan tegas perlu segera diambil oleh pihak berkuasa terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang berkaitan isu 3R melibatkan kaum, agama dan institusi diraja.

RINGKASAN BERITA AI
  • Jemaah Menteri memutuskan tindakan susulan berikutan kebimbangan peningkatan perbincangan isu dalam media dan media sosial.
  • Kerajaan akan mengkaji pindaan atau menggubal undang-undang baharu jika terdapat kelompongan perundangan.
  • Peguam Negara dijangka mengeluarkan kenyataan lanjut mengenai tindakan perundangan dalam masa terdekat.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini susulan kebimbangan terhadap peningkatan perbincangan berkaitan isu berkenaan dalam media serta media sosial kebelakangan ini.

“Sekiranya terdapat kelompongan dalam undang-undang yang menyebabkan tindakan tertentu sukar diambil, maka wajar untuk dikaji pindaan atau penggubalan undang-undang baharu supaya isu seperti ini dapat ditangani dengan lebih tuntas pada masa hadapan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Mesyuarat Jemaah Menteri di sini hari ini.

Menurut beliau, kerajaan juga tidak menolak kemungkinan untuk mengkaji semula atau menggubal undang-undang baharu sekiranya didapati terdapat kelompongan dalam kerangka perundangan sedia ada.

Beliau berkata kenyataan lanjut berhubung tindakan perundangan berkaitan isu tersebut dijangka akan dikeluarkan oleh pihak Peguam Negara dalam masa terdekat.