
KOTA BHARU, 9 Mac -Polis Kelantan perketat kawalan di sempadan Kelantan-Thailand termasuk menggunakan dua unit dron bagi melakukan pemantauan susulan paras air Sungai Golok semakin cetek akibat musim kemarau.
- Polis maklumkan Angkatan Tentera Malaysia supaya memperketat kawalan sepanjang Sungai Golok.
- Tindakan bertujuan mengekang penyeludupan dadah dan senjata api yang mungkin mengambil kesempatan.
- Tiada cubaan penyeludupan besar dikesan; pihak Thailand merampas kira-kira 500 kilogram pil yaba dipercayai untuk Kelantan.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, pihaknya juga sudah memaklumkan kepada rakan strategik iaitu Angkatan Tentera Malaysia (ATM) supaya memperketatkan lagi kawalan di sepanjang Sungai Golok,
Katanya, ia sebagai usaha mengekang aktiviti penyeludupan termasuk dadah dan senjata api yang mungkin mengambil kesempatan daripada keadaan itu.
Beliau berkata, setakat ini belum ada cubaan menyeludup secara besar-besaran dikesan masuk ke negeri itu.
“Setakat ini tiada rampasan besar-besaran dilaporkan. Bagaimanapun, pihak kami dimaklumkan oleh pihak berkuasa Thailand bahawa mereka telah merampas kira-kira 500 kilogram pil yaba di negara itu semalam, yang dipercayai cuba diseludup ke Kelantan. Cubaan tersebut berjaya dipatahkan oleh pihak berkuasa Thailand, dipercayai menggunakan perkhidmatan kurier,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada asnaf dan ibu tunggal oleh Persatuan Kebajikan An’anisa Rahmah Kelantan, di sini.