
KUALA LUMPUR, 9 Mac – 12 pingat emas menjadi sasaran Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) pada Sukan SEA 2027 di tanah air.
- Matlamat melengkapkan koleksi 100 pingat emas keseluruhan Malaysia dalam Sukan SEA.
- Malaysia kini telah mengumpul 88 pingat emas setakat ini.
- MGF merancang kem latihan pusat di luar negara sebagai persediaan Sukan Asia 2026 dan Sukan Komanwel.
- Tambah jurulatih dari Jepun, Natsumi, untuk bantu atlet dari segi teknikal dan koreografi.
Misi ini bukan sekadar mengejar kejuaraan keseluruhan, malah bertujuan melengkapkan koleksi 100 pingat emas keseluruhan sepanjang penglibatan Malaysia dalam temasya berkenaan.
Presiden MGF, Kau Git Kaur berkata, setakat ini Malaysia telah pun mengumpul 88 pingat emas.
Selaku tuan rumah, beliau optimis sasaran emas ke-100 itu mampu direalisasikan.
“Ini sasaran kami pada Sukan SEA seterusnya, untuk capai emas ke-100,” katanya selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kerja 2026 di Majlis Sukan Negara di sini hari ini.
Pada Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur, skuad gimnastik negara memperoleh 13 pingat emas dalam acara artistik dan gimrama.
Dalam pada itu, Persekutuan Gimnastik Malaysia (MGF) merancang untuk mengadakan kem latihan pusat di luar negara sebagai persediaan ke Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya, Jepun dan Sukan Komanwel di Glasgow, Scotland.
Pengarah Teknikal MGF (artistik) Mohd Faiz Mohd Ameer berkata, terdapat dua pilihan lokasi yang dilihat dapat membantu memantapkan persiapan atlet negara.
“Untuk latihan ini, kami fokus kepada latihan intensif, ada dua pilihan negara sama ada China ataupun Jepun. Kami juga akan beri tambahan jurulatih dari Jepun, iaitu Natsumi kerana beliau seorang jurulatih dan koreografer untuk bantu atlet kita dari segi teknikal,” katanya.
Sukan Asia 2026 akan berlangsung mulai 19 September manakala sukan Komanwel dijadual bermula pada 23 Julai.