
KUALA LUMPUR, 9 Mac – Sebanyak 19 projek daripada 46 projek berkaitan hakisan pantai dan muara sungai kini berada pada peringkat pelaksanaan.
- Kementerian melalui JPS komited menangani isu hakisan pantai secara menyeluruh berdasarkan penilaian teknikal.
- Pendekatan termasuk kaedah struktur seperti pembinaan benteng dan perlindungan pantai serta kaedah bukan struktur bagi perancangan dan pengurusan pesisir.
- Pelan Pengurusan Pantai Bersepadu ISMP dilaksanakan, 11 kajian siap dan enam lagi sedang dalam pelaksanaan di seluruh negara.
- Langkah ini diharap mengurangkan risiko hakisan pantai serta melindungi kawasan pesisir daripada ancaman perubahan alam sekitar dan pembangunan.
Selain itu, 24 projek lagi berada pada peringkat pra-pelaksanaan dan baki lagi tiga projek telah memasuki peringkat pasca pelaksanaan.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata kementerian melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) komited menangani isu hakisan pantai secara menyeluruh berdasarkan penilaian teknikal.
Menurut beliau, pendekatan yang diambil melibatkan kaedah struktur seperti pembinaan benteng dan perlindungan pantai, selain kaedah bukan struktur yang memberi tumpuan kepada perancangan serta pengurusan kawasan pesisir.
“Bagi pendekatan bukan struktur, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) melalui JPS melaksanakan Pelan Pengurusan Pantai Bersepadu atau Integrated Shoreline Management Plan (ISMP).
Kajian ISMP berfungsi sebagai dokumen perancangan strategik bagi zon persisiran pantai yang boleh dijadikan rujukan oleh pihak berkuasa tempatan, kerajaan negeri serta pihak berkepentingan dalam merancang pembangunan secara lebih terkawal melalui pendekatan pencegahan dan langkah berjaga-jaga,” beliau menjawab soalan Senator Che Alias Hamid pada persidangan Dewan Negara di Parlimen.
Jelas beliau, sehingga kini sebanyak 11 kajian Pelan Pengurusan Pantai Bersepadu (ISMP) telah disiapkan di seluruh negara, manakala enam lagi sedang dalam pelaksanaan.
Katanya, bagi negeri Terengganu, kajian ISMP telah disiapkan pada tahun 2022 dan sehingga kini 10 projek berkaitan hakisan pantai dan muara sungai dengan jumlah peruntukan keseluruhan sebanyak RM1.57 bilion.
Daripada jumlah itu, lima projek sedang dalam pelaksanaan, selebihnya empat projek di peringkat pra-pelaksanaan dan satu projek telah berada di peringkat pasca pelaksanaan.
Langkah berkenaan diharap dapat membantu mengurangkan risiko hakisan pantai serta melindungi kawasan pesisir yang terdedah kepada ancaman perubahan alam sekitar dan pembangunan.