Gandingan Aaron-Wooi Yik terima ucapan tahniah TPM

FB Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR, 9 Mac – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan ucapan tahniah kepada pasangan beregu lelaki utama negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang muncul naib juara Kejohanan Badminton All England 2026.

RINGKASAN BERITA AI
  • Aksi sengit dan bertenaga gandingan itu dipuji, menjadi kebanggaan seluruh rakyat Malaysia.
  • Aaron-Wooi Yik tewas 21-18, 12-21, 21-19 kepada juara Korea Kim Won Ho-Seo Seung Jae.
  • Pasangan ini sekali lagi terlepas peluang menjuarai All England selepas tewas final 2019 dan 2024.
  • Kejohanan Super 1000 itu terakhir dimenangi wakil Malaysia pada 2007 oleh Koo Kien Keat-Tan Boon Heong.

Ahmad Zahid berkata aksi sengit dan bertenaga yang dipamerkan gandingan itu sepanjang kejohanan sungguh mengagumkan.

“Walaupun kali ini rezeki belum berpihak kepada Malaysia, semangat juang yang ditunjukkan kalian menjadi kebanggaan seluruh rakyat Malaysia.

Keep it up, boys! Teruskan fokus, jangan mengalah dan bawa semangat juang ini ke perlawanan seterusnya,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook beliau hari ini.

Dalam pertarungan sengit di Arena Utilita Birmingham, pada Ahad, Aaron-Wooi Yik yang merupakan pasangan nombor dua dunia tewas 21-18, 12-21, 21-19 kepada juara bertahan dari Korea Selatan Kim Won Ho-Seo Seung Jae.

Keputusan tersebut menyaksikan Aaron-Wooi Yik sekali lagi terlepas peluang merangkul gelaran sulung kejohanan berprestij itu selepas tewas pada perlawanan akhir edisi 2019 dan 2024.

Kali terakhir wakil Malaysia menjuarai kejohanan bertaraf Super 1000 itu ialah pada edisi 2007 menerusi gandingan Koo Kien Keat-Tan Boon Heong yang mengejutkan pasangan nombor satu dunia ketika itu dari China Cai Yun-Fu Haifeng.-BERNAMA