
LABUAN, 7 Mac – Seramai 100 penerima daripada 17 keluarga yang menerima Bantuan Sara Hidup Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) mengukir senyuman dalam persiapan menyambut Aidilfitri apabila diraikan dalam ‘Shopping Riang Raya’ menerusi Program Rahmah Ramadan MAIWP di salah sebuah pasar raya di sini.
- MAIWP menyediakan bantuan pembelian pakaian Aidilfitri bernilai RM300 seorang beserta duit raya RM50.
- Penerima meluahkan terharu dan bersyukur atas bantuan yang meringankan beban keluarga.
- Pegawai MAIWP menyantuni penerima semasa memilih pakaian, menzahirkan komitmen memperkasa kebajikan ummah.
Pengurus MAIWP Cawangan Labuan, Ustaz Mohd Rafie Zakaria berkata, inisiatif itu memperuntukkan kos perbelanjaan pembelian sebanyak RM300.00 bagi setiap seorang penerima.
Selain itu, kesemua penerima berkenaan turut menerima duit raya bernilai RM50.00.
“Kita mahu mereka buat persiapan raya dengan lebih selesa sekali gus dapat merasai kegembiraan menyambut Syawal nanti. Semua ini adalah hasil daripada amanah, para pembayar zakat.
“Jadi kami di MAIWP ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada anda semua kerana dengan zakat andalah kita bersama-sama memperkasakan kebajikan ummah ini”, katanya.
Sementara itu, seorang penerima bantuan, Mohd Syaiful Yahya, meluahkan rasa terharu kerana terpilih menerima bantuan tersebut.
“Perasaan saya terharu kerana terpilih. Boleh membeli baju raya melalui bantuan MAIWP ini. Terima kasih juga kepada para penyumbang dan pembayar zakat MAIWP yang membantu kami sekeluarga serta penerima lain”, katanya.
Seorang lagi penerima, Sariffa Affizah Jeffrey, turut bersyukur kerana bantuan itu sedikit sebanyak meringankan beban keluarganya.
“Bersyukurlah, tahun ini dapat bantuan untuk membeli baju raya anak-anak. Tahun lepas suami baru meninggal dunia, jadi agak terkesan dari segi mata pencarian.
“Bantuan ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban untuk membeli keperluan anak-anak”, ujar Sariffa Affizah.
Program ini bukan sahaja membantu golongan asnaf membuat persiapan Aidilfitri dengan lebih selesa, malah pegawai dan kakitangan MAIWP turut menyantuni setiap keluarga penerima memilih pakaian serta keperluan Aidilfitri.
Inisiatif ini juga mencerminkan komitmen berterusan MAIWP dalam memastikan golongan asnaf turut merasai kegembiraan menyambut Syawal dengan penuh bermakna selaras dengan aspirasi memperkasa kebajikan ummah.