Ambulans komuniti RM1 untuk penduduk Lembah Pantai

Datuk Fahmi Fadzil

KUALA LUMPUR, 6 Mac – Perkhidmatan ambulans komuniti pada kadar RM1 bakal disediakan untuk penduduk Lembah Pantai bagi memudahkan akses kepada bantuan kecemasan dengan lebih cepat dan mampu milik.

RINGKASAN BERITA AI
  • Inisiatif ambulans komuniti dilaksanakan bersama NGO Uncle Kentang untuk memudahkan akses kecemasan warga Lembah Pantai.
  • 10 ambulans ditempatkan di Pantai Dalam; tempahan dibuat melalui AJK surau, AJK masjid atau majlis perwakilan penduduk.
  • Majlis Iftar dan penyampaian sumbangan Aidilfitri dianjurkan bersama TNB di Madrasah Tarbiah Islamiah.
  • 100 penduduk menerima bantuan tunai RM150 seorang; TNB menyalurkan sumbangan RM10,000 kepada surau Apartment Putra Ria.

Menteri Komunikasi merangkap Ahli Parlimen Lembah Pantai, Datuk Fahmi Fadzil berkata, inisiatif itu dilaksanakan menerusi kerjasama sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang diusahakan oleh Kuan Chee Heng atau lebih dikenali sebagai Uncle Kentang.

Menurut beliau, sebanyak 10 ambulans akan ditempatkan di kawasan Pantai Dalam bagi memudahkan penduduk mendapatkan perkhidmatan kecemasan pada kos minimum. Tempahan boleh dibuat melalui jawatankuasa surau, masjid atau majlis perwakilan penduduk.

“Saya bekerjasama dengan sebuah NGO untuk menyediakan 10 ambulans khusus untuk warga Lembah Pantai pada harga RM1 sahaja.

“Ambulans ini ditempatkan di Pantai Dalam dan tempahan boleh dibuat melalui AJK surau, AJK masjid atau majlis perwakilan penduduk,” katanya.

Pengumuman itu dibuat ketika Majlis Iftar dan Penyampaian Sumbangan Aidilfitri kepada komuniti setempat di Madrasah Tarbiah Islamiah yang dianjurkan dengan kerjasama Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Dalam majlis berkenaan, seramai 100 penduduk sekitar Lembah Pantai menerima bantuan tunai RM150 setiap seorang, manakala TNB turut menyalurkan sumbangan RM10,000 kepada surau, khususnya bagi komuniti di Apartment Putra Ria.

“Saya sangat gembira dapat bersama TNB menyantuni warga di Apartment Putra Ria yang terletak berhampiran ibu pejabat TNB.

“Saya masih ingat beberapa tahun lalu sebelum pandemik, saya memohon supaya TNB memberi perhatian kepada anak-anak kariah di kawasan ini, dan sehingga hari ini mereka terus konsisten membantu masyarakat sekitar,” katanya.

Program bersempena Ramadan itu turut menghimpunkan pemimpin, pihak korporat serta masyarakat setempat dalam usaha mengukuhkan hubungan komuniti di samping membantu golongan memerlukan menjelang sambutan Aidilfitri.

Menurut beliau, usaha seperti itu bukan sahaja membantu meringankan beban penduduk menjelang Aidilfitri, malah mengukuhkan lagi hubungan antara sektor korporat dan komuniti setempat.

Majlis berkenaan turut dihadiri Ketua Pegawai Strategi dan Kelestarian Kanan TNB, Muhammad Nazri Pazi, Ketua (Stakeholder Strategy & Engagement) TNB, Raja Abd Jalil Raja Zaid, Ketua Stakeholder Engagement & Implementation TNB, Ahmad Rezahan Mohamad serta Pengerusi Madrasah Tarbiah Islamiah, Kamarudin Zulkefli.