Ganggu ketenteraman di balai polis, tiga lelaki didakwa

Ganggu ketenteraman di balai polis, tiga didakwa

KLANG, 6 Mac – Tiga lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan perlakuan tidak beradab di dalam balai polis di Meru, Klang Isnin lepas.

RINGKASAN BERITA AI
  • Didakwa membuat bising dan bergaduh dalam bangunan balai polis sehingga mengganggu ketenteraman awam.
  • Pertuduhan di bawah Seksyen 94 Akta Polis 1967, hukuman maksimum penjara enam bulan atau denda RM500 atau kedua-duanya.
  • Juga didakwa mencederakan seorang lelaki 29 tahun menggunakan topi keledar dan batang besi, di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Tertuduh, A. Magendran, 44, dan B. Kalairasan, 38, yang merupakan pemandu lori, serta seorang kelindan, P. Gopinath, 39, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nor Azilah Mat.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa membuat bising dan bergaduh di dalam bangunan polis sehingga mengganggu ketenteraman awam.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 94 Akta Polis 1967 (Penalti Am) yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara enam bulan atau denda RM500 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Ketiga-tiga tertuduh turut didakwa mencederakan seorang lelaki berusia 29 tahun menggunakan topi keledar dan batang besi.

Bagi pertuduhan berkenaan, mereka didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut.