Kes samun berkumpulan: 8 suspek ditahan selepas 24 jam

Foto fail/RTM

JOHOR BAHRU, 5 Mac -Tidak sampai 24 jam selepas menyamun, lapan individu termasuk seorang wanita ditahan dalam kes samun berkumpulan terhadap seorang ahli perniagaan warga Pakistan pada 24 Februari lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk AB Rahaman Arsad berkata, kejadian berlaku apabila mangsa mengeluarkan wang tunai berjumlah RM500,000 dari sebuah bank di Bandar Seri Alam, di sini, bagi membuat bayaran gaji pekerjanya.

Polis turut berjaya merampas semula wang tunai berjumlah RM487,300 manakala kira-kira RM12,000 dipercayai sempat dibelanjakan oleh sindiket terbabit.

“Apabila suspek-suspek ini ditangkap, kita mendapati salah seorang daripada mereka telah mendepositkan sejumlah wang ke dalam akaunnya melalui mesin ATM. Daripada siasatan, pihak polis merampas 25 slip bank dan menyita wang tunai dalam akaun tersebut milik suspek berkenaan, berjumlah RM65,830.

“Sitaan ini dibuat mengikut peruntukan Seksyen 116D Kanun Tatacara Jenayah,” katanya kepada pemberita dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen(IPK) Johor.

Enam daripada suspek berusia 23 hingga 53 tahun akan didakwa di Mahkamah Majistret dan Sesyen Johor Bahru, esok, mengikut Seksyen 395, Seksyen 399 dan Seksyen 412 Kanun Keseksaan serta Seksyen 120B kanun sama serta Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960.

Dua lagi suspek berusia 29 dan 31 tahun dibebaskan selepas polis memutuskan untuk menjadikan mereka sebagai saksi pendakwaan dalam kes berkenaan.