Cyberview perkukuh ekosistem, sasar lebih banyak pelabur asing ke Cyberjaya

Ketua Pegawai Eksekutif Cyberview Sdn Bhd, Kamarul Ariffin Abdul Samad / BERNAMA

CYBERJAYA, 4 Mac – Cyberview Sdn Bhd komited memperhebat usaha menarik pelaburan asing ke Cyberjaya dengan memperluas ekosistem teknologi sedia ada serta mempergiat pembangunan syarikat pemula tempatan dan serantau.

RINGKASAN BERITA AI
  • Cyberview memperluas ekosistem teknologi dengan fokus kepada pembangunan syarikat pemula tempatan dan serantau.
  • Rancangan melancarkan beberapa projek hartanah baharu tahun ini untuk meneruskan pembangunan fizikal Cyberjaya.
  • Cyberjaya disasarkan sebagai pintu masuk utama pelaburan teknologi ke Asia Tenggara berkat infrastruktur dan kestabilan.

Ketua Pegawai Eksekutif Cyberview Sdn Bhd, Kamarul Ariffin Abdul Samad, berkata sebagai pemaju induk Cyberjaya, syarikat itu merancang melancarkan beberapa projek hartanah baharu tahun ini bagi meneruskan pembangunan fizikal bandar berkenaan.

“Selain daripada kita meneruskan aktiviti untuk menarik pelabur masuk, kami juga berusaha memperluas ekosistem dengan memberi tumpuan kepada pembangunan syarikat pemula, bukan sahaja dari Malaysia tetapi juga di peringkat serantau.

“Dengan infrastruktur sedia ada yang lengkap, Cyberjaya merupakan lokasi strategik untuk syarikat pemula rantau ini berkembang dan memperluas perniagaan mereka”, katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Berbuka Puasa dan Apresiasi Media anjuran Cyberview, di sini, pada Selasa.

Dalam pada itu, beliau berpandangan Cyberjaya berpotensi muncul sebagai pintu masuk utama pelaburan teknologi ke Asia Tenggara walaupun landskap geopolitik global tidak menentu.

Katanya, ekosistem yang dibangunkan secara konsisten sejak sekian lama menjadi tarikan kepada syarikat teknologi antarabangsa yang mencari lokasi pelaburan yang stabil dan strategik.

Menurutnya, ketidaktentuan di beberapa rantau lain membuka peluang kepada Asia Tenggara, dengan Malaysia berada pada kedudukan kompetitif untuk menarik syarikat global.