
HUNGARY, 16 Ogos – Sekurang-kurangnya 12 orang maut manakala, 10 lagi cedera parah dalam kemalangan bas pelancong dari Poland di lebuh raya M3, berhampiran Mezokeresztes, timur Budapest, awal pagi Ahad.
- Bas pelancong terbabas, terjunam ke dalam parit dan terbalik; penumpang terperangkap di dalamnya.
- Pihak berkuasa mengesahkan mangsa meninggal dunia di lokasi dan semasa dirawat di hospital.
- Pasukan penyelamat menggunakan pengeluaran melalui tingkap dan dua kren; pemimpin kedua-dua negara menzahirkan takziah dan bantuan konsular.
Kemalangan berlaku kira-kira pukul 1 pagi waktu tempatan ketika bas berkenaan dalam perjalanan dari Serbia menuju Poland.
Menurut agensi pengurusan bencana Hungary, bas yang membawa 57 penumpang dan dua pemandu terbabas keluar dari jalan, sebelum terjunam ke dalam parit dan berhenti dalam keadaan mengiring.
“Sebelas mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi, manakala seorang lagi meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital,” menurut agensi itu.
Sementara itu, perkhidmatan ambulans memaklumkan 37 orang mengalami kecederaan ringan selain, sekurang-kurangnya 10 orang mengalami kecederaan serius.
Pihak bomba bersama pasukan penyelamat yang lain terpaksa mengeluarkan mangsa melalui tingkap selepas mereka terperangkap di dalam bas yang remuk.
Selain itu, dua kren turut digunakan bagi mengangkat bas keluar dari parit bagi membolehkan operasi menyelamat dan pemeriksaan diteruskan.
Perdana Menteri Hungary, Peter Magyar mengesahkan angka kematian nahas bas tersebut serta mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.
“Saya merakamkan ucapan takziah yang tulus kepada keluarga mangsa.
“Pada masa sama, saya turut berterima kasih kepada semua pihak terlibat dalam operasi menyelamat,” katanya.
Menteri Luar Poland, Radoslaw Sikorski menyifatkan kejadian itu sebagai kemalangan yang tragik, selain memaklumkan perkhidmatan konsular negara itu sedang berhubung dengan pihak berkuasa Hungary.
Perdana Menteri Poland, Donald Tust turut mengesahkan 12 kematian dalam tragedi berkenaan.
Kemalangan itu dilaporkan nahas jalan raya paling buruk di Hungary sejak 2003 apabila sebuah kereta api melanggar bas pelancong Jerman di Siofok sehingga mengorbankan 33 nyawa.
Pada 2002 pula, sebuah bas membawa jemaah Katolik dari Poland terlibat dalam kemalangan berhampiran Balatonszentgyorgy, mengorbankan 19 orang.- AFP