All England 2026: Dua beregu campuran negara pulang awal

Foto BAM

KUALA LUMPUR, 4 Mac– Hasrat dua beregu campuran negara untuk melangkah lebih jauh dalam saingan All England 2026 tidak kesampaian apabila kedua-duanya tersingkir seawal pusingan pertama di Utilita Arena Birmingham.

RINGKASAN BERITA AI
  • Dua beregu campuran Malaysia tersingkir pada pusingan pertama All England 2026 selepas tewas kepada pasangan Taiwan dan India.
  • Jimmy Wong-Lai Pei Jing tewas 17-21, 18-21 kepada Ye Hong Wei-Nicole Gonzales Chan dalam 36 minit.
  • Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin tewas 17-21, 19-21 kepada Dhruv Kapila-Tanisha Crasto dalam 41 minit.
  • Tumpuan beralih kepada empat wakil Malaysia lain yang akan beraksi esok termasuk Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan Leong Jun Hao.

Pasangan profesional negara Jimmy Wong-Lai Pei Jing yang membuka tirai cabaran Malaysia terpaksa akur dengan kehebatan beregu Taiwan Ye Hong Wei-Nicole Gonzales Chan selepas tewas 17-21, 18-21 dalam tempoh 36 minit.

Kekalahan itu merupakan yang kedua buat Jimmy-Pei Jing kepada pasangan sama selepas tumpas pada Masters Jepun 2025.

Turut menerima nasib sama ialah satu lagi beregu campuran negara Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin yang tewas buat kali kedua berturut-turut dalam tiga pertemuan kepada gandingan India, Dhruv Kapila-Tanisha Crasto.

Dalam perlawanan yang berlangsung selama 41 minit itu, pasangan ranking ke-23 dunia berkenaan bermula dengan baik, namun gagal mengekalkan konsistensi sebelum tunduk 17-21, 19-21.

Sementara itu, tumpuan kini terarah kepada empat lagi wakil Malaysia yang akan memulakan kempen masing-masing awal pagi esok waktu Malaysia iaitu beregu campuran utama negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei; beregu lelaki negara Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri dan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi; serta perseorangan lelaki negara Leong Jun Hao.

Kejohanan All England 2026 dijadual berlangsung sehingga Ahad ini.- BERNAMA