Keselamatan 29,112 rakyat Malaysia di Asia Barat keutamaan kerajaan

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim/Foto JaPen

KUALA LUMPUR, 2 Mac – Keselamatan 29,112 rakyat Malaysia yang berada di beberapa negara Asia Barat terus menjadi keutamaan kerajaan susulan ketegangan serantau yang semakin memuncak ketika ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kerajaan memantau rapat rakyat Malaysia di Asia Barat melalui Kedutaan dan bilik gerakan Kementerian Luar.
  • Perdana Menteri jamin bantuan konsular dan nasihat perjalanan untuk yang memerlukan.
  • Penerbangan terjejas; pemulangan bergantung kepada ketersediaan penerbangan dari negara berbeza.
  • Kerajaan sedia melakukan apa yang munasabah dan mampu untuk membantu rakyat terpencil atau tersekat.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata jumlah itu merangkumi rakyat Malaysia yang berdaftar dan tidak berdaftar, dengan angka tertinggi direkodkan di Qatar, Emiriah Arab Bersatu, Arab Saudi dan Jordan.

Beliau berkata sebahagian daripada mereka merupakan pekerja dan penduduk tetap, manakala selebihnya terdiri daripada pelancong serta jemaah umrah, dengan ramai dilaporkan terkandas akibat penutupan ruang udara dan gangguan penerbangan.

“Kita sedang memantau dari dekat sebahagian yang dibantu oleh Kedutaan dan menghubungi sekiranya memerlukan kerjasama membawa pulang walaupun terbantut sekarang kerana tersekat penerbangan. Penerbangan dibolehkan dari Arab Saudi tapi negara lain masih belum mendapat kepastian,” katanya.

Tambah beliau, Kementerian Luar akan mengaktifkan bilik gerakan bagi memantau situasi secara dekat.

Beliau memberi jaminan kerajaan akan melakukan apa yang munasabah serta mampu untuk membantu, termasuk melalui bantuan konsular dan nasihat perjalanan.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan usul mengecam tindakan Amerika Syarikat dan Israel di Dewan Rakyat, hari ini.