Israel dakwa Ali Khamenei terbunuh dalam serangan

FOTO AFP

BAITULMAQDIS, 1 Mac – Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mendakwa terdapat “banyak petanda” bahawa pemimpin tertinggi Iran, Ali Khamenei mungkin telah terbunuh susulan serangan besar-besaran oleh Israel dan Amerika Syarikat ke atas Iran.

RINGKASAN BERITA AI
  • Netanyahu dakwa ada petanda Ali Khamenei mungkin terbunuh susulan serangan Israel dan AS ke atas Iran.
  • Serangan itu mencetuskan balasan Tehran dengan pelancaran peluru berpandu ke beberapa lokasi di rantau Asia Barat.
  • Persatuan Bulan Sabit Merah Iran lapor sekurang-kurangnya 201 mati dan lebih 700 cedera akibat serangan tersebut.
  • Negara-negara tutup ruang udara dan syarikat penerbangan batalkan penerbangan ke rantau berkenaan susulan konflik.

Serangan tersebut mencetuskan tindak balas Tehran dengan pelancaran peluru berpandu ke beberapa lokasi di rantau Asia Barat.

Pihak berkuasa Iran menggesa penduduk meninggalkan Tehran, manakala Persatuan Bulan Sabit Merah Iran melaporkan sekurang-kurangnya 201 orang terbunuh dan lebih 700 cedera.

Satu serangan yang mengenai sebuah sekolah di selatan Iran dilaporkan meragut 108 nyawa, namun jumlah itu belum dapat disahkan sepenuhnya.

Dalam serangan balas Iran, beberapa letupan dilaporkan di Israel, Arab Saudi, Bahrain, Qatar, Jordan, Kuwait dan Emiriah Arab Bersatu, dengan seorang orang awam dilaporkan maut di UAE.

Netanyahu berkata operasi ketenteraan akan diteruskan dalam beberapa hari akan datang dengan sasaran terhadap kepimpinan tentera dan program nuklear Iran.

Iran pula berikrar akan melancarkan tindak balas keras terhadap apa yang disifatkan sebagai tindakan pencerobohan.

Susulan konflik, beberapa negara termasuk Iran, Iraq, Kuwait, Syria, UAE dan Israel menutup ruang udara masing-masing, manakala syarikat penerbangan membatalkan penerbangan ke rantau itu. – AFP