Dividen KWSP 2026 dijangka kekal kompetitif

FOTO RTM

SERI KEMBANGAN, 28 Februari – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dijangka mampu mengekalkan kadar dividen yang kompetitif bagi tahun kewangan 2026, disokong strategi pelaburan berpandukan Alokasi Aset Strategik.

RINGKASAN BERITA AI
  • KWSP dijangka mengekalkan kadar dividen kompetitif pada 2026 melalui strategi Alokasi Aset Strategik.
  • Fokus kepada pelaburan yang memberi pulangan lebih stabil mengurangkan kesan turun naik mata wang.
  • Perluasan pelaburan termasuk pasaran ekuiti persendirian dan antarabangsa untuk mempelbagaikan risiko.
  • Penerokaan pelaburan berpotensi tinggi seperti modal teroka menyokong pendapatan mampan jangka panjang.

Penganalisis Ekonomi Putra Business School, Profesor Dr Ahmed Razman Abdul Latif berkata, berdasarkan prestasi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, terdapat peningkatan dalam pelaburan pasaran ekuiti persendirian dan penumpuan kepada pelaburan antarabangsa.

”Apa yang saya lihat, daripada strategi Alokasi Aset Strategik, KWSP memfokuskan kepada kadar pulangan yang lebih stabil berbanding dengan pelaburan yang terlalu terdedah dengan pergerakan mata wang.

”Ini adalah salah satu strategi supaya jika berlaku lagi pergerakan mata wang ringgit dan sebaliknya, maka tidak mudah berlaku perubahan kadar dividen dari tahun ke tahun,” katanya.

Mengulas kadar dividen 6.15 peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, jelasnya ia merupakan kadar yang munasabah, mengambil kira kejutan ekonomi global susulan langkah tarif Amerika Syarikat tahun lalu.

Sementara itu, pakar ekonomi, Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata, alokasi aset yang strategik ini membolehkan KWSP menguruskan risiko dengan berkesan terutamanya dalam pasaran yang tidak menentu dan memastikan kadar dividen kekal stabil.

”KWSP sudah mula memperluaskan lagi pelaburannya, bukan saja bagi mengimbangi pelaburan berpendapatan tetap dan pelaburan dalam ekuiti, malah meneroka peluang perniagan yang lebih tinggi potensinya, seperti modal teroka dan sebagainya.

“Pendekatan ini boleh membantu KWSP menjana pendapatan yang lebih mampan dalam jangka panjang,” katanya.