Penyanyi legenda Amerika Neil Sedaka meninggal dunia pada usia 86 tahun

Neil Sedaka

WASHINGTON, 28 Februari – Penyanyi dan penulis lagu terkenal Amerika Syarikat, Neil Sedaka, meninggal dunia pada usia 86 tahun, menurut kenyataan keluarganya pada Jumaat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penyanyi lagenda Neil Sedaka meninggal dunia pada usia 86 tahun, menurut kenyataan keluarga.
  • Terkenal dengan hits era 1960-an dan 1970-an termasuk Laughter in the Rain dan Bad Blood.
  • Meraih tiga lagu nombor satu di AS dan menulis hits untuk artis lain seperti Love Will Keep Us Together.
  • Kerjaya bermula akhir 1950-an; tetap aktif membuat persembahan sehingga penghujung hayat.

Sedaka yang terkenal menerusi rangkaian lagu popular sekitar era 1960-an dan 1970-an termasuk Laughter in the Rain menghembuskan nafas terakhir selepas lebih enam dekad mewarnai industri muzik antarabangsa. Punca kematian bagaimanapun tidak didedahkan.

Dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook rasmi beliau, keluarga Sedaka memaklumkan mereka amat berdukacita atas pemergian mengejut figura yang disifatkan sebagai “legenda sebenar rock and roll”.

Sepanjang kerjayanya, Sedaka meraih tiga lagu nombor satu di Amerika Syarikat selain turut mencipta lagu hits untuk artis lain.

Dilahirkan di New York, kerjaya muziknya bermula pada penghujung 1950-an. Antara kejayaan awal beliau termasuk menulis lagu Stupid Cupid yang dipopularkan penyanyi terkenal ketika itu, Connie Francis.

Sebagai pemain piano berbakat, Sedaka kemudian mencipta nama sebagai penyanyi solo pada awal 1960-an menerusi lagu pop seperti Breaking Up Is Hard To Do.

Popularitinya bagaimanapun merosot pada separuh kedua dekad tersebut apabila kumpulan muzik seperti The Beatles mula mendominasi industri muzik dunia. Namun, beliau kembali mencatat kejayaan pada 1970-an menerusi lagu berirama mudah dengar termasuk Laughter in the Rain dan Bad Blood.

Lagu ciptaannya, Love Will Keep Us Together, turut menjadi hit nombor satu apabila dirakamkan semula oleh duo suami isteri Captain & Tennille pada tahun 1975.

Walaupun kejayaan komersialnya semakin berkurangan menjelang 1980-an, Sedaka kekal aktif dalam dunia hiburan dan terus membuat persembahan sehingga ke penghujung hayatnya.-AFP